24 ditahan terlibat parti liar di Ampang

Share

KUALA LUMPUR, 7 Jun — Empat penjawat awam antara 24 individu ditahan polis dalam serbuan ke atas parti liar di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Ampang di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira 11.20 malam itu, berusia dalam lingkungan 14 hingga 40 tahun.

“Hasil serbuan kami menahan 19 lelaki dan dua daripadanya bawah umur serta lima wanita termasuk tiga Indonesia dan seorang yang masih di bawah umur.

“Turut dirampas 11 biji pil khayal, masing-masing satu paket ganja dan ketamin dengan nilai rampasan dianggar RM420,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang daripada mereka yang ditahan itu menyewa kediaman berkenaan dan dadah pula dibawa oleh mereka yang hadir ke parti itu.

Tambahnya, ujian air kencing mendapati 20 daripada mereka positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua rakyat Malaysia yang ditahan dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tiga wanita Indonesia ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,“ katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply