Hanya rakyat Malaysia dibenar solat berjemaah di masjid, kata menteri

Semalam Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju membenarkan lebih ramai jemaah menunaikan solat di masjid, bergantung kepada keluasannya.

 

PUTRAJAYA: Kerajaan hanya memberi kebenaran kepada rakyat tempatan untuk solat berjemaah di masjid selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diperluas bagi melibatkan jumlah yang lebih besar.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan masih lagi dikenakan kepada warga asing untuk solat berjemaah di masjid pada masa ini memandangkan penularan kes Covid-19 dalam kalangan kumpulan itu masih tinggi.

“Bila kita umum kelonggaran (masjid dibenar menambah jumlah jemaah) ia tidak termasuk warga asing. Solat Jumaat dan jemaah hanya untuk warganegara Malaysia sahaja buat masa ini.

“Isu Covid-19 dalam kalangan warga asing masih tinggi, jadi keutamaan kita tentu sahaja rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Ismail diminta menjelaskan sama ada kebenaran solat berjemaah meliputi warga asing memandangkan kes positif Covid-19 dalam kalangan kumpulan itu masih tinggi.

Semalam Ismail berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju membenarkan lebih ramai jemaah menunaikan solat di masjid, bergantung kepada keluasan rumah ibadat itu.

Katanya, SOP kelonggaran untuk dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dibentangkan pada Sabtu.

Bagaimanapun beliau berkata, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat oleh menteri.

“Kalau dulu dihadkan kepada 30 orang, tadi kita setuju pada dasarnya, (had dinaikkan) berdasarkan keluasan masjid… asalkan ada penjarakan sosial dalam masjid, maka tiada halangan kita buka kepada orang ramai.

“Sebagai contoh, jika masjid itu besar seperti di Putrajaya… kalau dikira penjarakan sosial 1 meter, mungkin sampai 200 ke 300 orang. Maka 200 ke 300 jemaah dibenarkan.

“(Tetapi) kita sebut ini pada dasarnya. Setiap perkara berkaitan agama mesti dapat kelulusan Raja-raja di negeri dan Yang di-Pertuan Agong jika ia melibatkan negeri tidak beraja. SOP tadi untuk Wilayah Persekutuan.

“Kita bincang tadi dan itu dipersetujui… tetapi kita tak boleh luluskan sebelum Agong luluskan. Kalau diluluskan nanti, SOP mungkin akan diumumkan oleh menteri agama . Jadi kita tunggu,” katanya.

Sumber: FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker