Mengapa PH takut Parlimen dibubar, PRU diadakan?
SEMALAM Ahli Parlimen Sri Gading dari Bersatu telah meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri.
Walaupun masih menyokong kerajaan, beliau mengatakan ini adalah ‘langkah pertama’ untuk ‘memperbetulkan kesilapannya’ iaitu apabila dia menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Terus terang, keadaan kerajaan Perikatan Nasional kini adalah getir umpama telur di hujung tanduk dengan 112 ke 113 Ahli Parlimen iaitu dengan majoriti hanya satu atau dua kerusi.
Jika bekas Timbalan Menteri di atas melangkah setapak lagi dengan mengubah sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) bersama seorang sahaja lagi Ahli Parlimen kerajaan, kerajaan PN akan jatuh.
Kelmarin seorang senator DAP bernama Chin Tong mengatakan bahawa mereka sedang membentuk Pakatan Plus (PH+), iaitu gabungan parti-parti politik DAP, PKR, PAN dan sebahagian Bersatu yang menyokong Dr Mahathir.
Gabungan Pakatan Plus ini kononnya akan membentuk kerajaan apabila kerajaan PN tumbang.
Mereka mahu membentuk kerajaan semula melalui cara Ahli Parlimen melompat parti dan tidak melalui pilihanraya.
Pada PRU-14 yang lepas, DAP telah menang di kesemua 37 kawasan Cina dan 5 kawasan campuran.
Setiap kali pilihan raya umum sejak 20 tahun kebelakangan ini, DAP telah berjaya menambah kerusi Parlimen iaitu dari 10 kerusi semasa PRU-10 pada tahun 1999, ke 12 kerusi (PRU-11 2004), ke 28 kerusi (PRU-12 2008), ke 38 kerusi (PRU-13 2013) dan ke 42 kerusi (PRU-14 2018).
Strategi mereka mudah sahaja iaitu:
PERTAMA, menguatkan pengaruh mereka ke atas pengundi-pengundi Cina dengan menyemai kebencian dan sentimen perkauman terhadap Barisan Nasional (BN), UMNO dan orang Melayu.
Semasa PRU-14, lebih daripada 95 peratus atau hampir semua pengundi-pengundi Cina telah mengundi PH/DAP.
KEDUA, dengan menggunakan segelintir orang Melayu untuk menarik sebahagian sokongan Melayu serta menghasut pergaduhan sesama Melayu supaya orang Melayu berpecah-belah.
Dengan jumlah ahli parti yang kecil (dianggarkan DAP hanya mempunyai 100,000-200,000 ahli), strategi mereka ini telah berjaya dan dengan bantuan Mahathir mereka akhirnya telah membentuk kerajaan pada tahun 2018.
PH telah menang dalam PRU-14 sebab melalui Mahathir mereka telah menarik 25 peratus sokongan Melayu manakala 75 peratus lagi sokongan Melayu telah terpecah dua antara UMNO dan PAS.
Dan pada ketika itu sokongan pengundi Cina kepada mereka pun telah meningkat sehingga 95 peratus.
Namun kini UMNO dan PAS telah bergabung dalam Muafakat Nasional dan situasi politik telahpun berubah; majoriti orang Melayu telah bersatu dengan penyatuan UMNO dan PAS ini.
Dengan penyatuan orang-orang Melayu ini adalah semakin sukar untuk PH merampas kuasa dan untuk DAP menjadi kerajaan melalui pilihanraya.
Mereka (DAP) tahu jika pilihanraya diadakan, orang-orang Melayu tidak akan sokong PH dan mereka tidak boleh membentuk kerajaan hanya dengan sokongan pengundi-pengundi Cina.
…….
DAP dan PH kini sebenarnya berada dalam keadaan dilemma tentang siapa yang mereka akan angkat sebagai calon Perdana Menteri ke-9 terutamanya sekiranya Parlimen dibubar dan PRU-15 diadakan.
Jika mereka mengangkat Mahathir sekali lagi sebagai calon Perdana Menteri, Mahathir mungkin boleh memecahkan dan menarik sedikit sebanyak sokongan Melayu.
Namun, tahap sokongan orang Melayu terhadap Mahathir kini telah teruk merosot dan tidak seperti dulu.
Orang Melayu melihat Mahathir kini ditunggang oleh DAP.
Untuk mengubah persepsi orang Melayu terhadap dirinya, tiga bulan lepas dalam satu rakaman audio Mahathir berkata kononnya dia tidak suka DAP.
Namun tindakan-tindakannya membuktikan sebaliknya.
Semasa Langkah Sheraton empat bulan lalu, sepatutnya Mahathir telah pun menjadi Perdana Menteri ke-8 setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7.
Namun rancangannya telah tidak menjadi kerana ditolak oleh UMNO sebab Mahathir berdegil untuk membawa DAP dalam kerajaan yang baru.
Mahathir masih tidak mahu meninggalkan PH dan DAP.
Namun walaupun Mahathir masih bersama DAP, pengundi-pengundi Cina juga tidak lagi memandang tinggi kepada Mahathir selepas PRU-14 terutama selepas Kongres Maruah Melayu yang dianjur olehnya.
Ini ditunjukkan melalui kekalahan teruk PH dan Bersatu di bawah Mahathir di pilihanraya kecil Tanjung Piai tahun lepas di mana hanya 40 peratus pengundi Cina dan 5 peratus pengundi Melayu telah mengundi PH, merosot teruk berbanding 80 peratus Cina dan 25 peratus Melayu yang mengundi mereka pada PRU-14.
Oleh itu, jika DAP mengangkat Mahathir sekali lagi sebagai calon PM dalam PRU-15, besar kemungkinan undi Melayu yang dikejar tidak dapat, dan undi Cina yang dikendong akan berciciran seperti yang terjadi di Tanjung Piai.
Sekiranya ini berlaku, PH akan hilang banyak kerusi pada PRU-15 akan datang.
Kerusi-kerusi Bersatu seperti di Muar, Simpang Renggam dan Sri Gading yang dimenangi oleh mereka kerana sokongan undi Cina serta lebih separuh daripada kerusi-kerusi PAN dan banyak kerusi PKR yang telah dimenangi kerana perpecahan tiga penjuru undi Melayu antara UMNO, PAS dan PH pada PRU-14 yang lepas besar kemungkinan akan bertukar tangan jika pilihanraya diadakan dengan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri untuk PH kali ini.
(Tidak hairanlah mengapa Khalid Samad nampak beria-ia memaksa Mahathir untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
Selain Mahathir yang meletakkan jawatan dan menyebabkan kerajaan PH tumbang, Khalid Samad adalah antara sebab utama yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan PH sebelum ini kerana terlampau gopoh memaksa Mahathir untuk melepaskan jawatan kepada Anwar).
……..
Namun, jika mereka (PH/DAP) mengangkat Anwar untuk menjadi calon PM-9 untuk PH dalam PRU-15, Anwar akan dapat mengekalkan sokongan pengundi Cina kepada PH, tetapi dia tidak akan dapat menarik sokongan Melayu.
Tanpa Mahathir, Anwar telah cuba sebanyak empat kali sejak tahun 1999 untuk membawa Pakatan untuk menang pilihanraya umum dan membentuk kerajaan sebelum ini namun tidak berjaya.
Ini kerana rata-rata orang Melayu tidak menyokong Anwar.
PH pastinya tahu mereka tidak boleh harapkan Anwar untuk menarik sokongan Melayu untuk menang pilihanraya lantas membentuk kerajaan.
……..
Kini, Anwar dan Mahathir kedua-duanya telah menjadi liabiliti kepada PH dan DAP.
Sebab itu sehingga sekarang walaupun PH bercita-cita untuk membentuk semula kerajaan, mereka masih tidak boleh mengisytiharkan siapa calon Perdana Menteri.
Keadaan dalaman PH sekarang amat kucar-kacir dengan perpecahan dalam PKR oleh Anwar dan kemelut dalam Bersatu oleh Mahathir.
Dan dengan prestasi buruk PH selama 22 bulan sebagai kerajaan dan janji-janji dalam manifesto mereka yang tidak ditunaikan, adalah sukar untuk mereka meyakinkan rakyat untuk mengundi mereka semula.
Rakyat sudah nampak dengan terang lagi bersuluh bahawa mereka (PH) hanya gila merebut kuasa tetapi tidak minat dan tidak mampu untuk mentadbir negara.
Sebab itu PH tidak mahu jika Parlimen kini dibubar.
Kerana mereka takut untuk berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor
Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia)
Isham Jalil