Abdul Latif dilantik Ketua Pengarah Kastam

PUTRAJAYA, 5 Jun  — Datuk Abdul Latif Abdul Kadir dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Seri Paddy Abd Halim yang bersara wajib, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Abdul Latif, 59, yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 1985 dengan jawatan pertama disandangnya sebagai penguasa kastam di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa dan Pematuhan).

Mohd Zuki berkata Abdul Latif berpengalaman luas dalam pelbagai bidang penguatkuasaan, pengurusan pematuhan, perkastaman dan percukaian serta pernah berkhidmat sebagai pengarah kastam negeri.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimilikinya (Abdul Latif) akan membolehkan beliau meneruskan aspirasi JKDM ke arah pentadbiran kastam bertaraf dunia,” katanya.

Mohd Zuki turut merakamkan penghargaan terhadap Paddy atas jasa dan khidmat baktinya kepada negara sebagai penjawat awam selama 37 tahun.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker