DNA mereka tidak secocok dengan perjuangan PH – Pengarah Strategi Amanah

Tulisan ini menyinggung perihal angin kencang perubahan kerajaan. Kalau sesuatu itu ada ‘sunnah’ atau hukum alamnya, maka begitu juga perjalanan demokrasi. Susun atur dan tata kelola demokrasi juga punya dinamika dan ciri-ciri tersendiri.

Sesungguhnya, peranan Institusi Raja Berpelembagaan menaungi dan memastikan semua berjalan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Mengimbau semula perjalanan serta mekanisme peralihan kerajaan baru-baru ini, sayugia diingatkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sememangnya diperuntukkan kuasa dalam dalam Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan pertimbangkan “…pada hemat atau pertimbangan Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya.”

Kuasa lantikan ini ialah kuasa budi bicara YDPA yang dijamin oleh perlembagaan.



Benar, bukan tanggungjawab Agong untuk meneliti dan menimbang nawaitu setiap pemimpin atau wakil rakyat dalam membuat pendirian dalam pernyataan sokongan kepada mana-mana calon perdana menteri.

Apatah lagi untuk menentukan sama ada berlaku pengkhianatan atau pembelotan ketika seorang anggota Parlimen menyatakan pendiriannya.

Bukan juga tanggungjawab Agong untuk mempertikai sama ada Muhyiddin telah menandatangani perjanjian bersama dengan parti komponen PH untuk secara sepakat memperjuang misi dan objektif gabungan ketika PRU ke-14.

Begitu juga untuk mempastikan benarkah Muhyiddin telah menjalankan pelbagai tipu helah untuk membolehkan mahathir setuju agar Bersatu meninggalkan PH, seperti dalam rakaman sebelum ini.



Tidak wajar dan tidak relevan sama sekali untuk Agong dipertanggungjawabkan atas semua kerenah dan intrig politik di belakang pergolakan yang berlaku.

Rakyat yakin Agong akan terus menaungi dan menjamin kelancaran perjalanan demokrasi dalam proses pemulangan mandat rakyat nanti.

Yang perlu disaring

Akhirnya, pada detik mandat rakyat dikembalikan kepada PH, saya dengan penuh rasa tanggungjawab ingin menegaskan beberapa ingatan buat diri sendiri dan pimpinan yang lain.



Demi menjaga kemurniaan perjuangan, visi dan matlamat yang sama-sama kita sepakati, amat mustahak untuk memastikan dua jenis makhluk ini mesti disaring daripada bersama-sama dalam gagasan ini;

Pertama, ahli-ahli Yang Berhormat yang terpalit dengan pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan pecah amanah serta yang sedang mendepani pelbagai tuduhan di mahkamah termasuk pengubahan wang haram dan tuduhan-tuduhan lain.

Kedua, ahli-ahli Yang Berhormat yang jelas memiliki pegangan doktrin pekauman melampau dan agama yang ekstrem. Jelas DNA mereka tidak secocok dengan perjuangan PH yang menganjurkan matlamat Rahmatan lil Aalamin (rahmat untuk semua). Bahkan ia berlawanan dengan konsep inklusif dan kemakmuran bersama yang disepakati.

Meskipun dikatakan jumlah ahli Yang Berhormat sudah mencukupi, bertambah mustahak lagi untu ksemua pihak – terutama pimpinan tertinggi – untuk mengambil sedikit pencerahan daripada siri pertama tulisan insan yang kerdil ini.




DR DZULKEFLY AHMAD adalah Pengarah Strategi Amanah dan bekas Menteri Kesihatan.

Petikan daripada artikel Ingatan di tengah ‘angin kencang’ perubahan kerajaan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker