Semua rugi jika asyik rebut kuasa

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Pemimpin dalam negara sepatutnya mengutamakan usaha pemulihan ekonomi yang makin meruncing, terutama di kala situasi dua juta rakyat dijangka bakal kehilangan pekerjaan. 

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, usaha menstabilkan negara dan membawa negara ke arah negara sejahtera dan makmur patut difikirkan bersama, bukannya merebut kuasa. 

“Jika krisis berlarutan, semua kita akan rugi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, reformasi politik menyeluruh bagi memastikan politik berintegriti dan berprinsip yang dituntut rakyat wajib dilaksanakan ketika ini. 

“Disebabkan politik yang diamalkan hanya untuk memastikan kemenangan parti masing-masing dengan menggadaikan kebenaran dan keadilan, telah menimbulkan huru-hara dan jatuh reputasi parti masing-masing, baik yang nasionalis dan Islamis,” katanya.

Ketika negara sedang menghadapi krisis pandemik COVID-19, pihak pembangkang menjadikan perebutan kuasa sebagai keutamaan mereka.

Cubaan menjatuhkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam Perikatan Nasional (PN) juga bertalu-talu dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 pada Februari lalu.

Walhal, kejatuhan kerajaan PH berpunca daripada tindakan Dr Mahathir sendiri kerana meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, sehingga Yang di-Pertuan Agong akhirnya memilih Muhyiddin untuk menggantikannya setelah mendapati Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Terbaharu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berkuat kuasa, serta-merta hari ini. 

Ahli Parlimen Sri Gading itu dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau telah membuat keputusan yang kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dengan rasminya saya umumkan meletak jawatan perkara di atas berkuatkuasa mulai hari ini. Saya telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi-pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker