SPRM Kedah tahan tiga pegawai undang-undang P.Pinang minta suapan RM500,000

ALOR SETAR, 2 Jun  — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan tiga pegawai undang-undang negeri Pulau Pinang semalam, kerana disyaki meminta suapan sebanyak RM500,000 daripada orang awam.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata suspek pertama berusia 42 tahun ditahan di sebuah hotel di Pulau Pinang pada 12.15 tengah hari Isnin, manakala dua lagi suspek berusia 29 dan 52 tahun ditahan di pejabat SPRM Kedah pada 10.15 dan  10.38 malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta rasuah sebanyak RM500,000 dan sudah menerima RM100,000 daripada seorang orang awam sebagai balasan bagi memastikan kes komersial yang dilaporkan oleh orang awam tersebut dituduh di mahkamah.

“Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, awal pagi ini.

Shaharom Nizam berkata, pihak SPRM juga telah melakukan pemeriksaan di pejabat serta rumah kesemua suspek dan menemui serta menyita sejumlah wang tunai.

“SPRM pohon sesiapa yang pernah jadi mangsa sindiket atau komplot berkenaan (kes ini) agar segera tampil membuat laporan kepada SPRM Kedah,” katanya.

Katanya siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker