Jawatankuasa MKN pantau pematuhan SOP PKPB warga asing
Keputusan dibuat selepas tahap pematuhan mereka kurang baik
PUTRAJAYA, 10 Syawal 1441H, Selasa – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi jawatankuasa sedia ada akan memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dalam kalangan pekerja asing, sebagai usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas tinjauan mendapati tahap pematuhan SOP golongan itu kurang baik berbanding rakyat Malaysia.
“Hari ini KKM (Kementerian Kesihatan) telah bincang dalam mesyuarat MKN bahawa jawatankuasa sedia ada akan melihat kepatuhan pekerja asing mengenai SOP yang dikeluarkan KKM.
“Kita lihat rakyat Malaysia patuh pada SOP, maka kalau rakyat Malaysia dan pekerja asing dapat patuh SOP, nescaya kita dapat tamatkan atau putuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini,” katanya pada sidang media perkembangan mengenai COVID-19, di sini, hari ini.
Semalam, Dr Noor Hisham mendedahkan, graf kes harian sebenar merangkumi semua kes COVID-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, melibatkan kes positif dalam kalangan bukan warganegara sejak 29 April.
Ini disebabkan kes import dari luar negara serta penularan wabak dalam kalangan bukan warganegara di beberapa depoh tahanan imigresen dan juga dalam kalangan pekerja asing di pelbagai sektor dalam komuniti.
Sementara itu, mengenai tahap kesediaan negara untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi selepas ini, Dr Noor Hisham berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 perlu dilanjutkan untuk tujuan pemantauan serta pengawasan.
“Kalau semua sektor ekonomi sudah dibuka dan Malaysia mencatatkan kes baharu satu atau dua digit, maka kita sudah bersedia untuk laksanakan ‘exit strategy’. Inilah dinamakan ‘soft landing’,” katanya.
Ditanya mengenai promosi jualan murah, beliau menyarankan, majikan memantau tahap pematuhan SOP di premis perniagaan masing-masing selain mengelakkan berlakunya kesesakan orang ramai.
“Promosi jualan murah bukanlah satu isu, isunya sekarang ialah kesesakan pelanggan sehingga mengabaikan SOP terutamanya jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan pemakaian penutup hidung dan mulut,” katanya. -Bernama