Jualan bersih asing meningkat kepada RM589.62 juta

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih bagi minggu yang baru berakhir ini apabila jumlah aliran keluar bersih meningkat kepada RM589.62 juta daripada RM394.34 juta pada minggu sebelumnya.

Pasaran ekuiti tempatan menyambung semula dagangan pada 27 Mei selepas ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Seorang penganalisis berkata pasaran dijangka kekal berhati-hati memasuki minggu depan, meskipun agak rancak sedikit susulan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pulih sebanyak 20.8 peratus, meningkat kepada 1,473.25 mata daripada paras rendah 1,219.72 mata yang dicatatkan pada 19 Mac, 2020.

“Nampaknya pembukaan semula ekonomi secara berperingkat telah menyokong pasaran ekuiti,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, petunjuk ekonomi juga menunjukkan petanda penstabilan selepas jatuh merudum semasa April.

Sebagai contoh, Mohd Afzanizam berkata Indeks Pengurus Pembelian Komposit bagi Amerika Syarikat (AS), Eropah, United Kingdom dan Jepun pada Mei masing-masing meningkat kepada 36.4 (April: 27.0), 30.5 (April: 13.6), 28.9 (April: 13.8) dan 27.4 (April: 25.8).

Tuntutan pengangguran di AS bagi minggu yang berakhir pada 16 Mei juga susut kepada 21.0 juta daripada 24.9 juta pada minggu sebelumnya, membayangkan lebih ramai rakyat Amerika kembali mendapat pekerjaan dengan pembukaan semula ekonominya.

“Bagaimanapun, kebimbangan berkaitan dengan hubungan dua hala antara AS dan China berikutan rancangan China untuk mengenakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong boleh membawa kepada sentimen pasaran yang tidak menentu.

“Justeru itu, pembetulan pasaran boleh berlaku kerana pelabur mahu menyimpan keuntungan mereka dan menilai perkembangan hubungan dua hala antara kedua-dua gergasi ekonomi dunia itu,” katanya.

Minggu depan, katanya, tumpuan akan terarah kepada pengumuman indeks Institute for Supply Management AS bagi sektor pembuatan, bukan pembuatan dan pekerjaan.

“Angka ini dijangka bertambah baik bagi bulan Mei. Seolah-olah semua berita negatif telah diambil kira oleh pasaran.

“Persoalan utama sekarang adalah sepantas mana pembukaan semula ekonomi boleh dilakukan dan secepat mana kita boleh mendapatkan vaksin COVID-19,” kata Mohd Afzanizam.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker