S/U Agung pro-Mahathir pula pecat S/U Kerja Bersatu

Setiausaha Agung Bersatu yang jawatannya dipertikaikan, Marzuki Yahya memecat setiausaha kerja parti itu, Muhammad Suhaimi Yahya, berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu dibuat selepas Suhaimi mengutuskan surat terhadap lima pemimpin Bersatu termasuk pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad bagi memaklumkan keahlian mereka ‘terhenti serta merta’.

Dalam surat yang dihantar oleh Marzuki dan dilihat Malaysiakini, beliau berkata Suhaimi dipecat serta merta kerana pelanggaran etika kerja dan perlembagaan Bersatu.

Menurutnya, Suhaimi telah “membuat keputusan berhubung pentadbiran parti dan mengeluarkan surat pemecatan keahlian tanpa pengetahuan dan tidak merujuk saya terlebih dahulu selaku ketua pentadbir Ibu pejabat parti dan setiausaha agung parti yang sah.”

Marzuki memetik Fasal 8.11 perlembagaan yang menetapkan kesemua perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli adalah di bawah bidang kuasa setiausaha agung.

Di samping itu, Fasal 16.6.3 dan 16.6.5 menyatakan setiausaha agung mengelola pentadbiran ibu pejabat parti dan perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli.

Untuk rekod, status Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu itu dipertikaikan di tengah-tengah konflik yang sedang berlangsung dalam parti itu.

Ini selepas presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku pengerusi dan menyingkirkan Marzuki daripada itu jawatan pada 18 Mac lalu.

Muhyiddin kemudian melantik Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung yang baru.

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan beliau masih pengerusi Bersatu dan mengiktiraf Marzuki sebagai setiausaha agung.

Terdahulu, Suhaimi menghantar surat untuk membatalkan keahlian Mahathir, timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota majlis tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Lima pemimpin itu mempertikaikan tindakan berkenaan, manakala Marzuki mengatakan Suhaimi tidak mempunyai kuasa di bawah perlembagaan parti.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker