‘Kami tak terima pemecatan salah ini’ – Dr M dan empat yang lain

Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin Bersatu yang menerima surat digugurkan daripada parti itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai bertentangan dengan undang-undang.

Dalam satu kenyataan bersama, kelima-lima pemimpin berkenaan berkata tindakan itu dibuat kerana kegusaran presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menghadapi pemilihan parti serta kedudukan beliau yang tidak selamat selaku perdana menteri.

“Pihak kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu.

“Yang jelas, pejabat Presiden bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang kini melanda negara.

“Ini juga menampakkan sikap diktator presiden,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Dr Mahathir yang juga anggota parlimen Langkawi, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Mukhriz merupakan pencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden dalam pemilihan parti itu yang ditangguhkan selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Menurut mereka, peruntukkan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang membolehkan seseorang ahli dipecat adalah apabila mereka “mengisytiharkan keluar daripada parti” dan “menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini”.

“Dilihat pada takrifan di atas, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah.

“Kamu langsung tidak bersetuju bahawa keahlian kami terhenti secara serta-merta apatah lagi ia bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak kami untuk membela diri dan memberi penjelasan, yakni hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang- undang,” jelas mereka.

‘Surat ditandatangani individu biadab’

Terdahulu hari ini, Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan surat terhadap lima anggota parlimen berkenaan memaklumkan keahlian mereka ‘terhenti serta merta;.

Keputusan itu dibuat atas alasan mereka duduk di blok yang “tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional” semasa persidangan parlimen pada 18 Mei lalu.

Pada masa itu, seramai 114 anggota parlimen duduk di blok kerajaan, yang menyaksikan Muhyiddin hanya memperoleh majoriti tipis dua kerusi parlimen.

Sementara itu, kelima-lima anggota Parlimen itu berkata surat berkenaan menampakkan ‘kecelaruan’ urusetia Bersatu dan ditandatangani oleh individu yang tidak diberi kuasa di bawah perlembagaan parti, selain menampakkan parti itu tidak ditadbir secara profesional.

“Tindakan seorang setiausaha kerja mengutus surat sebegini kepada antaranya para pengasas parti Bersatu sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab,” tegas mereka.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker