Nilai sumber mineral negara dianggar RM4.1 trilion – Shamsul Anuar

IPOH, 28 Mei  — Kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menunjukkan nilai keseluruhan sumber mineral negara dianggarkan berjumlah RM4.1 trilion, ia dinilai berdasarkan harga semasa.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata nilai sumber itu diperoleh daripada tiga kategori mineral utama iaitu mineral berlogam, mineral bukan berlogam dan mineral tenaga.

“Selain itu, statistik JMG menunjukkan pengeluaran mineral negara tahun lepas adalah sebanyak RM6.32 bilion, meningkat sebanyak 6.4 peratus berbanding RM5.94 bilion pada tahun sebelumnya.

“Manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas bagi industri perlombongan dan pengkuarian mineral (tidak termasuk minyak dan gas) bernilai RM9.041 bilion atau 0.7 peratus daripada keseluruhan KDNK negara menerusi 155 lombong dan 397 kuari aktif di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Kompleks JMG Perak di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata pada masa sama industri itu menyediakan sejumlah 15,275 pekerjaan dan daripada jumlah itu sebanyak 83.57 peratus iaitu 12,766 adalah daripada kalangan pekerja tempatan.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata pihaknya sedang berusaha untuk melakukan transformasi terhadap pembangunan industri perlombongan mineral supaya menguntungkan daripada segi lebihan nilai eksport dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan.

“Transformasi itu dilaksanakan dengan mengaktifkan industri hiliran berasaskan mineral serta membentukkan rantaian nilai dan jaminan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik.

“Pembangunan industri perlombongan mineral di masa hadapan bukan lagi menggunakan acuan dan model yang dilaksanakan sebelum ini iaitu pengeluaran bahan mentah untuk dieksport terus ke luar negara,” katanya.

Penstrukturan semula organisasi melibatkan JMG dan Lembaga Pembangunan Timah melalui penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Mineral juga dicadangkan bagi memacu pertumbuhan industri mineral dan mengawal selia aktiviti pembangunan supaya dilaksanakan secara selamat dan mampan, kata Shamsul.

Menurutnya kementerian juga melaksanakan Kajian Spesifik Potensi dan Pembangunan Mineral di kawasan terpilih di seluruh negara berasaskan data asas kajian ‘airborne’ sedia ada,” katanya.

Berdasarkan kajian dijalankan, masih terdapat banyak kawasan berpotensi mengandungi sumber mineral yang belum diteroka dan dibangunkan secara komersial antaranya kawasan bijih timah Jalur Barat Timah dan kawasan sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia khususnya dari Perlis hingga ke Muar, Johor.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker