Muhyiddin Yasin Tinggalkan Bersatu & Kembali Kepada UMNO?
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin berkata, tidak menghairankan dan mengejutkan jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meninggalkan Bersatu dan menyertai semula Umno.
Namun, katanya juga, adalah tidak menghairankan dan mengejutkan jika sekali lagi dipermainkan oleh Umno.
Menulis di blog, Kadir berkata pulang semula ke pangkuan Umno adalah antara opsyen yang dipertimbangkan oleh Muhyiddin dalam berdepan dengan ketidaktentuan masa depan Bersatu.
“Kita kena ingat, Muhyiddin tidak keluar daripada Umno.“Dia dipecat oleh Najib (Razak) sedangkan Dr Mahathir Mohamad keluar Umno secara sukarela.
“Maka adalah tidak mustahil atau memeranjatkan sekiranya Muhyiddin melakukan perjalanan pulang ke pangkuan Umno,” katanya.
Muhyddin dipecat dari Umno pada 2016 kerana lantang mempersoalkan tindakan Najib berhubung skandal 1MDB.
Pada Februari tahun ini, presiden Bersatu itu mengisytiharkan bahawa partinya keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan membentuk gabungan Perikatan Nasional bersama Umno, BN, dan PAS untuk mengambil alih teraju pemerintahan persekutuan.
Namun, Bersatu berpecah antara kumpulan yang berpihak kepada Muhyiddin, dan mereka yang setia kepada Dr Mahathir dan PH.
Kadir dalam tulisannya mengingatkan bahawa, Umno tidak sepenuhnya menyokong PN, dan sebaliknya hanya memperalatkan gabungan itu untuk mengukuhkan kedudukannya dan kembali berkuasa.
Rujukan: The Scribe A Kadir Jasin