Peluang raih lailatulqadar
Dalam budaya Melayu kita menyambut sesuatu acara mengikut tarikh Masihi atau tarikh Hijrah. Contohnya hari Kemerdekaan 31 Ogos, Hari Malaysia 16 September, Hari Wilayah Persekutuan 1 Februari, Hari Buruh 1 Mei sementara puasa bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal, Maulidur Rasul 12 Rabiulawal dan Hari Raya Aidiladha 10 Zulhijah.
Sekali sekala kita menggunakan kedua-duanya serentak. Misalnya semasa mengadakan majlis perkahwinan. Permulaan harinya pun berbeza, hari barat bermula pada tengah malam hingga ke tengah malam berikutnya. Hari Islam pula bermula pada waktu Maghrib hinggalah ke waktu Maghrib berikutnya.
Kita sering membuat kesilapan pada tarikh Hijrah apabila mengadakan sesuatu majlis di sebelah malam. Tarikh Hijrah yang dipaparkan adalah tarikh pada siang tadinya sedangkan hari dan tarikh Islam sudah berubah pada waktu Maghrib.
Ramadan tahun ini (1 Ramadan 1441) bermula pada hari Khamis, 23 April 2020 mulai waktu Maghrib malam Jumaat. Pada malam itu kita sudah memulakan Ramadan dengan mengerjakan solat sunat Tarawih.
Doa qunut akan mula dibaca pada 16 Ramadan, iaitu selepas puasa yang ke-15. Pernah terdapat surau atau masjid yang mula membaca doa qunut setelah menyelesaikan puasa pada hari ke-16 Ramadan. Ini bermakna bahawa mereka sudah terlewat sehari.
Malam tujuh likur ialah malam yang ke-27 dalam bulan Ramadan. Mulai malam itu masyarakat Melayu menghias halaman dan keliling rumah mereka dengan lampu lap-lip dan juga pelita. Acara ini diteruskan hingga beberapa malam selepas Hari Raya Aidilfitri.
Jadi, likur bukanlah untuk malam tujuh likur sahaja. Orang Melayu sudah menggunakan nombor-nombor ini sejak dahulu kala lagi khususnya untuk mengakhiri surat, dokumen atau prasasti (batu bersurat) yang mereka tulis.
Berikut ini diberi beberapa contoh penggunaan likur di dalam surat-surat Melayu yang terdapat dalam buku Warkah Warisan (Annabel Teh Gallop).
Perkataan likur boleh disingkatkan dengan huruf Jawi/Arab, lam qaf yang secara kebetulan juga merupakan singkatan untuk lailatulqadar, iaitu malam al-qadar atau malam kemuliaan.
Lailatulqadar (malam kemuliaan) itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Dengan menggunakan sedikit matematik, 1,000 dibahagi dengan 12 diperoleh 83.3333, iaitu 83 tahun 4 bulan. Jadi 1,000 bulan itu adalah lebih daripada 83 tahun.
Ini bermakna segala amal ibadat yang kita kerjakan pada malam kemuliaan itu, ganjaran yang Allah SWT berikan kepada kita umat Nabi Muhammad SAW, mengatasi amalan lebih daripada 83 tahun.
Oleh sebab kita tidak pasti malam yang mana satu, maka perlulah kita mulakan dari malam selikur (ke-21) lagi hingga ke malam sembilan likur (ke-29).
Pada waktu berkenaan kita perlu mengadakan qiamullail, menghidupkan malam, mempertingkatkan amalan dan memperbanyakkan solat sunat, taubat, tasbih, tahajud, hajat, membaca al-Quran dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, berzikir dan berdoa.
Malam selikur (21) Ramadan pada tahun Hijrah 1441 ini jatuh pada hari Rabu 13 Mei 2020 mulai waktu Maghrib malam Khamis hingga malam kesembilan likur (29) Ramadan 1441 pada hari Khamis 21 Mei 2020 mulai waktu Maghrib malam Jumaat.
Janganlah lepaskan peluang keemasan untuk berusaha mendapatkan ganjaran lailatulqadar pada bulan Ramadan kali ini. Takut-takut ini merupakan Ramadan yang terakhir untuk kita.
Satu lagi ganjaran yang berkait rapat dengan Ramadan yang disediakan Allah SWT untuk umat Nabi Muhammad SAW ialah ibadah puasa enam, iaitu berpuasa selama enam hari di bulan Syawal.
Mengikut sebuah hadis, selepas berpuasa di sepanjang Ramadan dan diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal, seolah-olah kita sudah berpuasa sepanjang tahun.
Kedua-dua ganjaran yang dibincangkan di atas disediakan Allah SWT untuk umat Nabi Muhammad SAW bukan pada tahun ini sahaja akan tetapi sentiasa ada pada tiap-tiap bulan Ramadan hingga hari kiamat.
Semoga kita tidak melepaskan peluang keemasan ini dan akan cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, insya-Allah.
You must be logged in to post a comment.