Sanusi nafi PAS mungkir janji sokong Mukhriz kekal MB
qMenteri Besar Kedah yang baru Muhammad Sanusi Md Nor menafikan PAS mungkir janji untuk menyokong Mukhriz Mahathir kekal di jawatan itu sehingga tamat penggal ini.
“(Ketika itu) saya pergi jumpa dia untuk nyatakan sokongan agar (Mukhriz) terus jadi menteri besar. Memang saya ada pergi (jumpa Mukhriz).
“Ia agar dia boleh memperbaiki pertembungan (politik) yang merugikan rakyat. Tetapi nampaknya pertembungan itu makin tajam.
“Maka berlakulah apa yang berlaku hari ini,” katanya ketika sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, hari ini.
“Saya rasa berlaku perubahan (kerajaan) bukan kerana pujukan PAS tapi kerana mereka (Adun yang menukar sokongan) tak mahu kepada PH,” katanya lagi.
Sanusi berkata demikian ketika ditanya berkenaan kenyataan Mukhriz bahawa PAS sebelum ini memberi jaminan tidak akan menggesa Adun-adun PH untuk menukar sokongan, selain setuju untuknya terus menjadi menteri besar sehingga akhir penggal.
Pada masa sama, menurut Mukhriz, PAS meminta agar kerajaan negeri “tidak memandang mereka” sebagai pembangkang dan memberikan peruntukan tambahan kepada pusat khidmat DUN PAS dan Umno.
Mukhriz dakwa PAS mungkir janji untuk beliau kekal MB hingga tamat penggal
Selepas menjelaskan pertemuannya dengan Mukhriz itu, Sanusi turut ditanya jika PAS sememangnya memberikan jaminan tersebut, dan beliau berkata: “Tidak betul.”
Susulan keluarnya Bersatu daripada PH, beberapa negeri menyaksikan pertukaran kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN), iaitu Johor, Perak dan Melaka.
Bagaimanapun pada masa itu Mukhriz mengekalkan kerjasama Bersatu dengan PH di Kedah, membolehkan pentadbiran negeri terus kekal sehinggalah peralihan sokongan enam Adun – dua bekas PKR dan empat daripada Bersatu – kepada PN minggu lalu.
Sementara itu, Sanusi menyuarakan harapan agar pembangkang terus menunjukkan kerjasama yang baik dan membina bagi manfaat penduduk dan negeri Kedah.
Beliau juga memberi jaminan pentadbiran baru akan bersikap saksama kepada semua pihak.
“Tidak akan ada ketidakadilan terhadap mana-mana pihak, termasuk kakitangan kerajaan dalam kategori lantikan politik sebelum ini,” katanya.
Berkenaan projek pembangunan yang dijalankan pentadbiran terdahulu, beliau berkata ia akan diteruskan dengan penambahbaikan.
Sanusi berkata, Kedah antara negeri termiskin di Malaysia yang memerlukan langkah drastik bagi memacu ekonomi penduduknya di pelbagai peringkat.
Beliau mencadangkan program jihad membasmi kemiskinan melibatkan anak yatim dan masyarakat Orang Asli yang akan dirangka bersama-sama Lembaga Zakat Negeri Kedah.
“Ia tidak memberi tumpuan kepada orang Islam sahaja. Exco yang bertanggungjawab untuk hal ehwal orang bukan Islam akan dilantik beberapa hari lagi akan turut komited dalam membasmi kemiskinan melalui lebih banyak program yang berkesan,” katanya yang juga Adun Jeneri.
Mkini
You must be logged in to post a comment.