Rebut kelebihan 10 malam terakhir Ramadhan
oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
MASA begitu cepat berlalu. Tahun ini kita menjalani puasa Ramadan dalam suasana yang sangat istimewa.
Sangat-sangat berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Saya sudah diberikan hayat selama 53 tahun di dunia ini.
Dan inilah kali pertama saya bertarawih di rumah sepenuhnya.
Kali pertama juga saya berada di rumah sepanjang Ramadan. Cita-cita yang sudah sekian lama saya harapkan semenjak bekerja. Alhamdulillah syukur dapat merasa juga akhirnya.
Terfikir di benak, jika tidak kerana pandemik Covid-19, tentu semua keistimewaan ini tidak akan dirasai. Hari-hari akan letih lesu bila pulang daripada bekerja. Hari-hari akan menempuhi kesesakan jalan yang teruk.
Bila menyebut tentang kesesakan jalan pada bulan Ramadan ini, saya teringat satu peristiwa beberapa tahun lepas.
Kebetulan saya ada mesyuarat pada petang hari dan lokasinya tidak jauh dari rumah saya. Ketika mesyuarat tamat, waktu Asar baru sahaja masuk. Saya mengambil keputusan untuk solat Asar di rumah.
Kebetulan malam itu adalah malam pertama Ramadan. Saya tidak sangka sama sekali bahawa jalan sangat sesak.
Kereta tidak dapat bergerak langsung atau jika bergerak pun hanya sedikit. Bayangkan, biasanya dalam masa 15 minit sahaja saya boleh sampai ke rumah tapi pada masa tersebut, saya sampai ke rumah selepas Maghrib.
Di mana Asar saya? Sepanjang perjalanan dada mula sebak memikirkan solat Asar yang berkemungkinan melayang.
Bila sampai satu kawasan yang sudah agak lengang, saya memecut dan sempat sampai di sebuah stesen minyak dan pada masa itu saya ada masa kurang daripada 10 minit sebelum Maghrib.
Saya berkejar mengambil wuduk dan sempat solat Asar. Azan Maghrib berkumandang seusai salam diberi. Terkedu tapi lega.
Alhamdulillah, tahun ini tiada lagi kesesakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semua orang duduk di rumah kecuali petugas tertentu. Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah ada kelonggaran, tetapi saya menjangkakan mungkin kesesakan jalan raya tidak berlaku.
Tahun ini juga kita dapat melalui 10 malam terakhir Ramadan dengan penuh ketenangan. Tiada lagi kepenatan kerana mengharungi kesesakan jalan raya. Tempoh 10 malam terakhir Ramadan sangat istimewa sebenarnya.
Sewajarnya kita tidak sibukkan diri kita untuk keluar ke sana sini membeli-belah bagi menyambut hari raya walaupun pihak kerajaan sudah memberi sedikit kelonggaran semasa PKPB ini. Sebaik-baiknya, kita sibukkan diri kita untuk memakmurkan 10 malam terakhir Ramadan ini.
Tempoh 10 malam terakhir Ramadan sangat penting bagi umat Islam. Tempoh ini jangan disia-siakan. Ini kerana dalam tempoh ini ada satu malam yang sangat istimewa iaitu Lailatul Qadar.
Lailatul Qadar adalah satu malam yang sangat istimewa dan ia lebih baik daripada 1,000 bulan yang lain. Ini adalah satu hadiah istimewa yang ditawarkan ALLAH pada setiap tahun.
Ramai di antara kita bila ditawarkan hadiah lumayan oleh seseorang atau institusi tertentu, akan berlumba-lumba dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hadiah tersebut.
Nah! Tawaran ALLAH di depan mata kita sekarang. Ganjarannya jauh lebih lumayan berbanding hadiah-hadiah yang pernah ditawarkan di dunia ini. Adakah anda ingin melepaskan peluang tersebut?
Akhir kalam, rebutlah peluang ini sebelum terlambat. Alangkah ruginya jika kita sebagai Muslim menolak mentah-mentah tawaran hebat daripada ALLAH ini kerana belum tentu kita berjumpa lagi dengannya pada tahun hadapan. Wallahu a’lam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah