UMNO 74 Tahun: Jasa Bakti UMNO Merentas Generasi – Ahmad Maslan
SELAMA 74 tahun UMNO dan pemimpinnya berjasa kepada rakyat di negara Malaysia. Jangan dilupa hakikat itu. Sejak tahun 1946 hingga ke hari ini tahun 2020, setiap kita rakyat menerima jasa yang telah dan sedang dicipta samada secara langsung atau pun tidak. Generasi demi generasi, UMNO menabur bakti.
Penentangan Malayan Union, kemerdekaan tanah air tercinta, mengisi kemerdekaan, menstabilkan politik selepas 13 Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru DEB, pelbagai dasar yang dibuat oleh Perdana Menteri UMNO dalam kerajaan Barisan Nasional hinggalah kepada pemujudan suasana damai dengan PAS melalui Muafakat Nasional, UMNO dan pemimpinnya sentiasa menabur jasa.
Anak-anak kampung daripada keluarga yang miskin disamaratakan taraf pendidikan dengan anak-anak bandar yang ibu bapa mereka kaya raya. Anak kampung itu diberi biasiswa atau pinjaman untuk belajar di institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara dan kini mereka menguasai pelbagai sektor; menjadi penjawat awam, usahawan, profesional, NGO atau ahli politik. Semua ini berjaya dibuat dengan DEB, dasar pendidikan dan dasar lain hasil cetusan idea dan kelulusan dalam kabinet kerajaan UMNO dan BN sebelum ini.
UMNO dan PAS bertelagah seperti tidak ingat dunia ini akan kiamat selama lebih 60 tahun yang membawa kepada perpecahan bangsa Melayu yang parah. Namun pertelingkahan itu tamat bila Presiden UMNO DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS DS TG Abdul Hadi Awang menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 Sept 2019 di Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur. Jasa perpaduan Melayu ini sangat bermakna dalam perjuangan 74 tahun kewujudan UMNO dan 69 tahun perjuangan PAS.
“Berkorban ikhlas, nama dicipta,
Bila dikenal, mendapat ruang;
UMNO dan PAS, henti sengketa,
Muafakat Nasional, teguh berjuang”
Apakah yang wajar UMNO lakukan untuk hari esok dan masa depan? Demi anak cucu dan generasi akan datang maka peristiwa kekalahan kerajaan BN dua tahun yang lalu pada 9 Mei 2018 wajar diambil ingatan. Antara puncanya ialah fitnah yang dipercayai, manifesto yang menipu seluruh rakyat, lebih empat juta terutama anak Melayu tidak mendaftar mengundi dan bangsa Melayu yang berpecah.
Oleh itu, untuk masa depan UMNO dan BN bersama rakan PAS dan parti lain yang ingin bekerjasama, kita mesti memenangi PRU-15 dengan memastikan rumpun Melayu/Bumiputera tidak berpecah atau sengaja dipecahkan lagi oleh pihak lawan.
Jika 79 kerusi BN pada PRU-14 dapat diperolehi kembali, bersama 18 kerusi PAS dan 32 kerusi di mana undi BN dicampur undi PAS, kerusi itu yang sekarang kalah tetapi boleh dimenangi, maka 129 kerusi akan diperolehi untuk kita memerintah kembali. Dicampur dengan kerusi parti lain yang ingin bersama, kemenangan yang besar boleh kita perolehi.
Untuk apa kita mesti memenangi PRU-15? Ianya adalah bagi memastikan rakyat negara ini hidup makmur dan sejahtera. Telah terbukti selama 62 tahun BN memerintah, kehidupan rakyat negara ini bertambah baik setiap masa merentas satu generasi ke satu lagi generasi. Jika generasi pertama hanyalah penoreh getah dari sebuah kampung yang tidak mempunyai kemudahan asas, generasi ke-dua berjawatan tinggi dengan kehidupan yang lebih baik. Generasi ke-tiga pula mungkin sedang berada di institusi pengajian tinggi atau pusat kemahiran yang menjanjikan kehidupan yang juga berjaya.
Kejayaan itu terbantut selama 22 bulan bila PH-DAP memerintah. Ketika itu suasana tidak harmoni kerap berlaku. Nabi dihina, Raja dihina, tentera dihina, Jawi dihina, bahasa dihina, penjawat awam dibuang, rakyat ditipu dengan manifesto palsu, harta negara dijual dan digadai secara banyak, hutang kerajaan bertambah, ekonomi tidak stabil dan pemimpin UMNO diheret ke mahkamah dengan pertuduhan yang direkacipta merupakan antara peristiwa pahit yang terjadi.
Ketika Perikatan Nasional mengambil alih masa ini, rakyat dan negara seluruh dunia berhadapan pula dengan “perang dunia ke-3” berlawan dengan musuh yang tidak kelihatan, wabak Covid-19. Kita sedang menangani cabaran ini dan sekali lagi pemimpin UMNO berada di barisan hadapan, menabur jasa untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara.
Sempena Hari UMNO yang ke 74 ini, bersamalah kita mengenang jasa-jasa UMNO kepada diri, keluarga kita dan marilah kita memastikan parti UMNO terus padu untuk sentiasa menabur jasa bakti kepada rakyat Malaysia, dulu, kini dan selamanya.
Semangat sedikit, jangan dibuang,
Sekian lama, sudah membara;
UMNO bangkit, terus berjuang,
Demi agama, bangsa negara.
Sekian lama, sudah membara,
Sepanjang hayat, dilupa jangan;
Demi agama, bangsa negara,
Prihatin rakyat, jadi pegangan.
DS Ahmad bin Maslan
You must be logged in to post a comment.