Isi ruang rahmat Allah
oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ALLAH Taala menegaskan matlamat utama penciptaan manusia ialah untuk membangunkan kehidupan, memakmurkan dunia di samping tugas sebagai khalifah untuk menegakkan Islam di permukaan bumi ini.
Untuk itu, segala isi alam semesta ciptaan Allah ini diamanahkan kepada umat manusia untuk dimajukan, dibangunkan dan dimanfaatkan demi kebaikan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Seiringan dengan amanah dan tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap manusia, maka setiap manusia berkewajipan untuk bekerja iaitu melaksanakan berbagai-bagai bidang tugas mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing dengan matlamat untuk memanfaatkan segala sumber kekayaan alam semesta yang terhampar di seluruh pelosok permukaan bumi Allah ini.
Menurut perspektif Islam, melakukan apa-apa juga bentuk pekerjaan sebagai sumber mata pencarian hidup itu adalah satu kewajipan agama bagi setiap Muslim.
Ini bermakna apabila seseorang Muslim memenuhi tanggungjawabnya dengan bekerja mencari rezeki yang halal, dia bukan hanya memenuhi tugas ke atas dirinya dan keluarganya, malah dia juga menjunjung perintah Allah.
Lebih jelas lagi, sesuatu pekerjaan yang baik lagi halal tidak kira sama ada bekerja sendiri mahu pun bekerja makan gaji adalah satu amalan ibadat di sisi Allah.
Oleh itu, Allah memberi ganjaran pahala kepada sesiapa yang melakukan pekerjaan yang halal demi menampung kehidupannya dan ahli keluarganya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan dikatakan lagi kepada mereka (ahli syurga): Inilah syurga yang diberikan kepada kamu untuk mewarisinya disebabkan apa yang telah kamu kerjakan. (Surah al-Zukhruf, ayat 72)
Dalam konteks ini, Islam tidak menentukan apakah jenis pekerjaan yang seharusnya dilakukan setiap Muslim, sebaliknya Islam mengharuskan apa-apa sahaja jenis pekerjaan yang dilakukan asalkan pekerjaan terbabit baik dan diredai Allah.
Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Maksud ayat suci menjelaskan pekerjaan yang baik lagi halal amat penting dalam meraih keredaan Allah kerana hasil daripada pekerjaan yang dilakukan itu bukan hanya dinikmati dalam kehidupan duniawi, malah ia terus berlangsung hingga hari akhirat.
Begitulah konsep pekerjaan dalam Islam yang memandang jauh ke hadapan sehingga merangkumi kedua-dua tuntutan duniawi dan ukhrawi, sekali gus selaras perintah Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluanmu dan bekalanmu) dari dunia. (Surah al-Qasas, ayat 77)
Bagaimanapun, amat menyedihkan ada segelintir umat Islam yang tersalah faham konsep pekerjaan yang sebenarnya menurut Islam.
Mereka rata-rata menggariskan matlamat utama mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan ialah untuk mengejar kemewahan dan mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan untuk kepentingan dirinya dan keluarganya sehingga mengetepikan hak-hak Allah yang wajib ditunaikan dan mengabaikan kewajipan sosial sesama masyarakat.
Dalam konteks ini, tidak salah bagi seseorang Muslim mencari harta kekayaan dalam hidupnya, tetapi perlu diinsafi harta itu pada hakikatnya adalah amanah Allah kepadanya untuk digunakan dan dimanfaatkan menurut jalan yang diredai-Nya.
Dalam hal ini, manusia hanya sebagai pemelihara amanah, bukan sebagai pemilik yang sebenarnya terhadap harta terbabit kerana segala harta kekayaan yang terhampar di sepanjang permukaan bumi Allah ini hanya dipinjamkan Allah kepada umat manusia.
Justeru, sebagai pemelihara amanah dan peminjam, manusia mempunyai tanggungjawab agama dan sosial terhadap harta yang dikurniakan kepada mereka.
Demikian nilai sejagat yang dihembuskan Islam mewarnai konsep pekerjaan yang baik dan persaingan yang sihat dalam kehidupan ummah.
Pekerjaan yang dilakukan seseorang Muslim biar dengan matlamat untuk mengisi ruang rahmat yang dilimpahkan oleh Allah ke atas sekalian hamba-Nya di samping memelihara adab dan etika kerja supaya dia tetap berada di atas landasan yang diredai-Nya, bukan mengikut desakan hawa nafsu, ketamakan dan pesona harta dunia yang melalaikan.
Penulis adalah Profesor
di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam,
Universiti Sultan Zainal Abidin
You must be logged in to post a comment.