MN : Ada orang sudah terpesong hala tuju, kata Tajuddin

Kekuatan Muafakat Nasional (MN) sepatutnya diperkukuhkan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15, namun kini hala tujunya sudah terpesong, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, momentum MN yang dibentuk oleh Umno dan PAS kini bagaikan hilang arah tuju apabila dua parti itu berada dalam kerajaan.

Jelas Tajuddin, Umno dan PAS masih berada dalam MN yang dibentuk pada September tahun lalu, manakala kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) pula hanya membabitkan anggota parlimen.

“Sepatutnya kita teruskan usaha memperkukuhkan MN untuk siap siaga hadapi PRU-15.

“Tapi malangnya ada orang sudah terpesong hala tuju yang sepatutnya ditumpukan untuk hadapi PRU-15 tetapi digunakan untuk ambil bahagian dalam kerajaan.

“MN macam sudah tidak penting, yang penting dapat masuk kerajaan,” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Bagaimanapun Tajuddin tidak mendedahkan pihak yang didakwanya merencatkan perjalanan MN.

Tajuddin merupakan penggerak kepada Himpunan Melayu Bangkit dan Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan bagi menggembleng sokongan orang Melayu terhadap kedua-dua parti itu.

Pada 14 September tahun lalu Umno dan PAS secara rasmi membentuk kerjasama politik melalui MN dalam satu perhimpunan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Himpunan Penyatuan Ummah yang dihadiri puluhan ribu ahli dan penyokong menyaksikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Preisden PAS Abdul Hadi Awang memeterai piagam kerjasama berkenaan.

Melalui kerjasama MN, Umno dan PAS serta rakan komponen BN telah berjaya memenangi lima pilihan raya kecil (PRK) termasuk yang terakhir di Kimanis.

Kemelut politik yang melanda negara pada Februari lalu mengakibatkan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dan MN mencalonkan Muhyiddin selaku perdana menteri bagi menggantikan Mahathir Mohamad.

Seramai 39 anggota parlimen Umno dan 18 anggota Parlimen PAS sepakat mencalonkan Muhyiddin untuk menerajui negara.

Mengulas lanjut, Tajuddin mengingatkan pemimpin Umno supaya muafakat yang dibentuk itu perlu dipertahankan dan kedua-dua parti harus bangkit menerajui politik negara.

Mkini

Related Articles

One Comment

  1. Satu peringatan yang bernas. Pemimpin2 Umno dan Pas yang dilantik menjadi menteri, timbalan menteri dan pengerusi2 GLC kerajaan jangan terleka dengan jawatan dan gaji yang dinikmati hingga terlupa perjuangan asal, iaitu memastikan Mufakat Nasional menjadi teraju kerajaan selepas PRU15 nanti dan penglibatan mereka dalam Kerajaan Nasional sekarang hanyalah sebagai benteng sementara memastikan PH dan Dap tidak lagi memerintah dan menjahanamkan kepentingan Melayu dan Negara. Mufakat Nasional hendaklah digerakkan dengan lebih gigih sebaik saja PKP ditamatkan dan kempen2 menyatukan umat Melayu seperti yang dilakukan sebelum penubuhan kerajaan PN dulu. Pemimpin2 tertinggi kedua2 parti, Umno dan Pas mesti meruangkan masa untuk turun padang dalam sesi perhimpunan untuk menunjukkan kepada rakyat yang MN kuat dan teguh.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker