Tuntutan fardu kifayah
oleh Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham
BULAN Ramadan sekali lagi hadir dengan membawa keberkatan dan kebaikan kepada umat manusia. Bulan ini menawarkan pengampunan besar-besaran daripada Allah, dan inilah juga bulan yang mendorong manusia berbuat baik kepada manusia yang lain.
Dalam Islam, penentuan awal bulan dilakukan semata-mata dengan rukyah, atau cerapan hilal. Ini berdasarkan mafhum hadith nabi, “Janganlah kamu mula berpuasa melainkan setelah melihat hilal…” (Bukhari, hadith 1906). Dalam kaedah fiqh, ulamak menyatakan petunjuk kepada masuknya bulan baru itu adalah berdasarkan kepada kenampakan hilal, bukannya kepada kewujudannya.
Semasa zaman nabi, kekerapan berpuasa Ramadan sebanyak 29 hari adalah lebih banyak berbanding dengan 30 hari. Ini berdasarkan kepada athar Ibn Mas’ud yang menyatakan, “Kami berpuasa bersama-sama dengan Nabi 29 hari lebih banyak berbanding 30 hari,” (Sunan Abi Daud, hadith 2322). Ini membuktikan bahawa para sahabat bersungguh-sungguh melakukan aktiviti cerapan sejak kefarduan puasa Ramadan pada tahun kedua hijrah. Dalam masa yang sama, riwayat Ibn Mas’ud ini juga membuktikan bahawa langit Semenanjung Tanah Arab semasa zaman nabi tidak tercemar dengan pencemaran cahaya dan kurang berawan, sehingga memudahkan para sahabat untuk mencerap anak bulan.
Berdasarkan riwayat ini, umat Islam daripada zaman dahulu hingga sekarang bersungguh-sungguh melakukan cerapan hilal setiap 29 haribulan hijrah. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan, maka keesokan hari akan digenapkan (istikmal) kepada 30 hari. Sekiranya anak bulan kelihatan, maka esoknya akan masuk bulan baru.
Antara cabaran mencerap anak bulan ialah faktor cuaca. Awan tebal atau kabus di kaki langit kadang-kadang menyukarkan proses cerapan, kerana anak bulan terlindung. Sedangkan berdasarkan kepada analitis data raya yang dikumpulkan sejak ilmu astrometri dan falak semakin berkembang dalam kalangan umat Islam, kita boleh menghitung kebolehnampakan anak bulan dengan hampir tepat. Inilah proses yang digunakan oleh kerajaan Malaysia sekarang, iaitu kaedah hisab imkan al-rukyah. Proses hisab atau kiraan ini bukannya menolak rukyah atau cerapan, bahkan menjadikan kebolehnampakan atau kebolehcerapan itu sebagai kriteria asas. Ini selari dengan hadith nabi, “apabila cerapan kamu dihalang oleh awan, maka hitunglah.” (Bukhari, Hadith 1906).
Hadith ini selari dengan petunjuk yang disebut dalam hadith yang nabi memberikan bayangan bahawa pada zaman baginda, umat Islam belum lagi pandai menghitung. Maka difahami sekiranya teknik hitungan itu sudah tepat, maka ia boleh digunakan untuk melengkapkan kaedah cerapan secara pasti. Sabda nabi, “Kami ini adalah umat yang buta huruf, yang tidak boleh menulis dan juga tidak menghitung, satu bulan itu jumlah harinya begini dan begini, iaitu sekali berjumlah dua puluh sembilan dan sekali berikutnya tiga puluh hari.” (Bukhari, Hadith 5302)
Antara sarjana Mazhab Shafi’i yang menolak penggunaan hisab termasuklah Imām al-Haramain (m 438H), al-Mawardi (m 448H), Imam al-Rafi‘iy, Imām al-Nawawi (m 676H) dan ramai lagi majoriti sarjana mazhab. Premis penolakan mereka, adalah kerana ia tidak selari dengan arahan merukyah dalam kefahaman tekstual nas syarak, selain dikaitkan dengan ilmu al-tanjīm (astrologi atau perbintangan) yang diharamkan dalam Islam.
Pada zaman sekarang, ilmu hitungan atau hisab bagi penentuan awal bulan telah terbukti penggunaannya bagi mengatasi masalah cerapan di negara yang berawan tebal seperti di Malaysia. Apa yang pasti, antara hikmah utama mengapa Ramadan dimulakan dengan cerapan anak bulan, ialah bagi mendorong umat Islam melakukan kajian ilmiah yang berterusan terhadap jasad samawi ciptaan Tuhan, selain menggalakkan umat Islam menyambut Ramadan dengan merenung tanda kebesaran Allah, bagi membolehkan mereka mengharungi pesta beribadah ini dengan penuh keimanan, agar di penghujung Ramadan nanti mereka beroleh ketakwaan.
Tahun ini, cerapan hilal Ramadan dilakukan pada suasana yang mencabar. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19, cerapan hilal dilakukan dengan terkawal. Hanya 15 tempat di seluruh negara yang dibenarkan untuk membuat cerapan, sementara bilangan pencerap juga dihadkan tidak melebihi 6 orang. Ini bagi memastikan tuntutan fardu kifayah tetap dilaksanakan.
Penulis adalah Ketua Program Sains Kemanusiaan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang
HM
You must be logged in to post a comment.