Zakat penampung keperluan
oleh Mohd Rizal Azman Rifin
ZAKAT adalah ibadah wajib terangkum dalam Rukun Islam ketiga. Kewajipan membayar zakat bagi mereka yang layak adalah satu ibadah dalam menyucikan diri dan harta bendanya. Malah dalam Islam zakat begitu istimewa sehingga Allah menyenaraikan ia seiiring dengan solat dan dapat diperhatikan dalam banyak ayat-Nya.
Misalnya, dalam Surah al-Baqarah ayat 110 Allah berfirman, “Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa juga yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.”
Allah memberitahu kita dalam harta dimiliki itu, terdapat bahagian golongan tertentu seperti fakir miskin. Jadi, jelas harta kita bukan untuk dimiliki secara mutlak berseorangan sahaja. Perintah menunaikan zakat juga perlu dilihat antara kaedah Allah memperhatikan hamba-Nya yang berharta sama ada bakhil ataupun tidak.
Sedangkan, kadar dikenakan terhadap harta benda atau wang ringgit yang tersimpan bukanlah banyak sangat, sekadar 2.5 peratus. Kalau kadar serendah itupun dianggap membebankan, jelas sekali kita dalam kategori hamba Allah yang tangkai jering.
Ingat kepada pesanan Allah seperti mana terakam dalam Surah az-Zariyat ayat 19, Allah berfirman yang bermaksud, “Dan pada harta mereka (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
Sejarah menunjukkan titik mula perintah menunaikan zakat ialah pada tahun kedua selepas Baginda SAW berhijrah ke Madinah. Ayat perintah tunaikan zakat terkandung dalam ayat atau surah Madaniyah, iaitu wahyu Allah lebih berfokus terhadap aspek hukum-hakam dan syariat Islam berbanding sebelumnya yang menekankan aspek akidah.
Zakat dalam Rukun Islam ketiga itu mempunyai hikmah atau falsafahnya yang tersendiri. Sebagaimana halnya dengan syariat Islam yang lain, zakat juga tidak kurang sarat dengan falsafahnya yang sepatutnya kita fahami supaya dengan adanya pengetahuan dan pemahaman yang mendalam mengenainya, kita tidak terasa terbeban sebaliknya akan timbul satu rasa kesedaran tinggi untuk segera mengeluarkan zakat sebagai menyahut perintah Allah.
Antara falsafahnya tidak lain bagi membentuk masyarakat Islam yang saling membantu antara satu sama lain. Hal ini khususnya bagi mereka yang kaya harta akan bersedia dengan hati reda dan sedar tanggungjawabnya sebagai hamba Allah untuk menyumbangkan sedikit daripada bahagian hartanya untuk dikecapi golongan yang memerlukan.
Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
You must be logged in to post a comment.