Batal peperiksaan sekolah tamparan berganda buat pusat tuisyen
Pusat tuisyen nampaknya seperti golongan paling malang apabila kerajaan mengumumkan 2 peperiksaan utama peringkat sekolah – Ujian Penilaian Sekolah Rendah atau UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga atau PT3 – dibatalkan.
Selepas terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), pembatalan yang diumumkan Kementerian Pendidikan minggu ini mungkin menandakan berakhirnya suatu industri yang sekian lama berkembang maju kerana pentingnya lulus 2 peperiksaan itu.
Banyak pusat terjejas kerana hampir tiada pendapatan sejak kawalan berkuatkuasa 18 Mac.
Tinjauan FMT mendedahkan beberapa pusat tuisyen besar di Lembah Klang mungkin kerugian sehingga RM50,000 sebulan dari segi yuran pelajar, berdasarkan kiraan kasar yuran yang dikenakan untuk 4 subjek.
Pusat yang besar ada sedikit simpanan kerana syarat yuran pendahuluan, tetapi pusat tuisyen yang kecil bergantung pada yuran dari bulan ke bulan.
Sekurang-kurangnya 10 pusat tuisyen di Lembah Klang dan Pulau Pinang memaklumkan mereka bergelut untuk membayar sewa, bil utiliti dan gaji kakitangan sokongan.
Seorang pengajar, KK Lee, yang terkenal kerana kelas matematik untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), yang sudah ditunda, menawarkan kelas dalam talian.
Tetapi beliau bimbang akan bilangan pelajar yang akan mendaftar pada masa depan.
Sejak PKP, 40% daripada lebih 300 pelajarnya sudah berhenti, dan dijangka akan semakin berkurangan.
“Kebimbangan saya adakah sekolah akan dibuka semula tahun ini. Kalau tidak, pelajar tak akan datang tuisyen,” kata Lee, yang mengusahakan Pusat Tuisyen Ai di Kuala Lumpur, kepada FMT.
Sekolah ditutup sejak 14 Mac kerana cuti penggal pertama semasa PKP mula diumumkan.
Pembatalan UPSR dan PT3 diumumkan Menteri Pendidikan Radzi Jidin pada Rabu.
Radzi juga berkata peperiksaan SPRM tahun ini juga akan ditunda ke suku pertama tahun depan, begitu juga peperiksaan STPM.
Katanya, peperiksaan yang dibatalkan itu akan diganti dengan kaedah lain untuk menilai para pelajar.
Lee berkata 3 bulan akan datang kritikal bagi pusat tuisyen sepertinya.
Ini kerana Mei selalunya menyaksikan lebih ramai pelajar Tingkatan 6 mendaftarkan diri, apabila penggal mereka bermula.
Pada bulan Jun dan Julai pula akan menyaksikan lebih ramai pelajar Tingkatan 4 mendaftarkan diri sebagai persiapan untuk SPM.
“Sekarang saya tak pasti kami akan dapat pelajar baru. Memandangkan pusat kami terletak di pusat bandar, ramai yang akan menaiki pengangkutan awam untuk ke mari. Dengan kawalan sekarang, saya fikir keadaannya tidak ideal.”
Di Pulau Pinang, PKP memaksa Pusat Tuisyen Gelugor menutup pintu buat pertama kali dalam 30 tahun.
Pengetua Mohammed Thajudin Abdul Muthaliff berkata ia melaksanakan kelas digital kerana menyangka kawalan tidak akan berpanjangan.
Beliau menjelaskan menukar kepada kelas digital menelan belanja dan rumit, kerana beberapa pengajar tiada akses internet dan peranti yang baik.
“Beberapa pelajar kami bukan dari keluarga senang. Mereka tiada akses internet di rumah dan bergantung pada telefon bimbit.
“Jadi buat masa ini, pengajar memberikan soalan kepada mereka sebagai kerja rumah menerusi WhatsApp,” katanya.
Thajudin berkata sebelum ini pusat itu mempunyai 15 pengajar dan seorang kerani, dan kira-kira 300 pelajar sekolah rendah dan menengah.
Beliau berkata sekarang ketika kawalan, dia perlu menanggung kos sewa dan bil utiliti serta gaji.
Tetapi orang paling malang adalah pengajar, yang hilang pendapatan.
Dalam kes Thajudin, pengajarnya akan kerugian RM1,500 sebulan secara purata.
Thajudin berharap pusat tuisyen sepertinya akan dapat manfaat daripada pakej bantuan Covid-19 daripada kerajaan.
“Saya berharap bantuan akan diberikan kepada pusat tuisyen yang berdaftar seperti kami ini, terutama yang sudah lebih 10 tahun.”
You must be logged in to post a comment.