Speaker: Sidang Parlimen 18 Mei disiar secara langsung seperti biasa

Sidang Parlimen pada 18 Mei ini akan disiarkan secara langsung seperti biasa, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Bagaimanapun, Ariff berkata tidak semua media akan dibenarkan masuk ke Parlimen ekoran pandemik Covid-19.

“Anda mungkin terpaksa bergantung kepada siaran langsung. Tetapi RTM dan Bernama akan ada di sana (membuat liputan),” katanya kepada Malaysiakini.

Kebiasaannya, kakitangan organisasi media yang membuat liputan Parlimen ditempatkan di bilik media untuk memantau sidang, atau di lobi Parlimen untuk sesi ‘doorstep’ dengan anggota parlimen.

‘Doorstep’ di Parlimen adalah apabila wartawan bercakap dengan anggota parlimen yang keluar dari sidang.

Kalangan yang berada di bilik media pula memantau sidang menerusi televisyen litar tertutup.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon berkata, kemungkinan kawalan di Parlimen akan diperketatkan, bermakna hanya anggota parlimen, pegawai khas kerajaan dan menteri yang dibenarkan masuk ketika sidang berlangsung.

Mohd Rashid berkata apabila sidang disambung, titah Yang di-Pertuan Agong dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan adalah antara agenda utama.

Ariff berkata anggota parlimen akan duduk selang satu kerusi.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas spekulasi kerajaan Perikatan Nasional akan membuat langkah untuk melantik yang dipertua baru menggantikan dirinya.

“Tiada komen. Saya hanya mengikut aturan mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, yang dipertua dewan hanya boleh diganti jika dia meletak jawatan, Dewan Rakyat membuat usul, atau hilang kelayakan kerana terlibat dalam perniagaan komersial – tanpa mengira sama ada mendapat bayaran atau tidak.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan Perikatan Nasional akan mencalonkan Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said untuk menggantikan Anggota Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming sebagai timbalan yang dipertua Dewan Rakyat.

Kali terakhir Parlimen bersidang adalah pada 5 Disember lalu. Pada mulanya ia dijadual bersambung pada 9 Mac, tetapi ditangguh susulan kejatuhan kerajaan PH.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker