PKR gantung keahlian ketua Wanita Haniza Talha kerana jumpa Azmin, Zuraida

PKR menggantung keahlian Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha kerana menghadiri pertemuan dengan bekas pemimpin parti itu, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada akhir Februari lalu.

FMT difahamkan Timbalan Ketua Wanita PKR yang juga Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi, turut digantung keahliannya.

Haniza ketika dihubungi FMT mengesahkan beliau menerima surat penggantungan keahliannya pada 13 April lalu.

Surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa 6 April lalu.

Surat itu menyatakan Haniza menemui Azmin dan Zuraida, yang dipecat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 24 Feb lalu kerana mengkhianati parti, di sebuah hotel di Damansara pada 26 Feb lalu.

“MPP pada 21 Mac 2020 menggunakan perlembagaan parti Fasal 41.6 halaman 1 daripada 2 memperuntukkan keanggotaan saudari digantung serta-merta sehingga siasatan Lembaga Disiplin parti (selesai),” menurut surat itu.

Susulan penggantungan itu, Haniza dilarang membuat sebarang komen atas nama parti.

Haniza memenangi jawatan ketua Wanita PKR pada pemilihan lalu.

Semalam, Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah yang lebih dikenali sebagai “Ratu Naga” mempertikaikan keputusan parti memecatnya tanpa alasan kukuh dan tidak memberi peluang kepadanya untuk mempertahankan diri.

Katanya, beliau menerima notis pemecatan sebagai ahli PKR bertarikh 1 April lalu.

Hari ini, Syarul Ema ketika dihubungi FMT mendakwa selain Haniza, lebih 200 ahli PKR, termasuk majoriti MPP turut dipecat atau digantung keahlian berkuat kuasa 1 April lalu.

“Majoriti ahli MPP, Majlis Pimpinan Wanita dan Pemuda PKR yang pro-Azmin dan Zuraida menerima surat penggantungan serta pemecatan.”

FMT sedang mendapatkan pengesahan Saifuddin berhubung tindakan yang dikenakan kepada kumpulan pro-Azmin dan Zuraida.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker