Covid-19 : 156 kes baru hari ini dengan 3 kematian.
3 maut tapi 91 mangsa Covid-19 pulih
Tiga kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, ketika seramai 91 mangsa pulih dan dibenarkan keluar wad, yang tertinggi dalam sehari setakat ini, meningkat daripada 68 pesakit yang pulih semalam.
Kematian mangsa ke-35 diumumkan malam semalam, melibatkan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun, yang disahkan positif 18 Mac lalu.
Perkembangan ini menjadikan keseluruhan mangsa yang maut 37 orang, dan 479 orang pulih sehingga kini.
Sekarang ini, seramai 94 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
“Daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.
Hisham juga memaklumkan 156 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini, menambah mangsa Covid-19 kepada 2,626 orang sehingga kini.
Kes kematian ke-36 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun.
Kes kematian ke-36 dan ke-37 melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis, dan seorang wanita berusia 46 tahun dengan latar bekalang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun.
Mangsa ke-36 meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada pagi 30 Mac, sementara mangsa ke-37 meninggal dunia di Hospital Miri, Sarawak pada pagi hari yang sama.
Sementara itu, Hisham mengingatkan mana-mana orang yang diarah mengawasi dan memerhatikan diri sendiri di rumah supaya mematuhi tatacara perintah pengawasan dan pemerhatian.
“ini merupakan arahan yang termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.
Kementerian Kesihatan juga menasihatkan individu dengan sejarah perjalanan keluar negara supaya mengasingkan diri daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau rakan serumah 24 jam sehari selama 14 hari.
“Dalam tempoh ini, anda dinasihatkan untuk ambil langkah-langkah pencegahan seperti amalan kebersihan diri yang baik, kerap mencuci tangan dan ‘social distancing’ (jarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter) dari orang lain,” katanya.
“Dalam tempoh 14 hari ini, anda juga diminta memantau diri untuk sebarang gejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas.”
Hisham berkata anda perlu segera menghubungi fasiliti kesihatan terdekat dan maklumkan status anda kepada petugas kesihatan sekiranya anda mengalami mana-mana gejala tersebut.
FMT
You must be logged in to post a comment.