Pakej rangsangan gagal tangani isu berkait pekerja, kata Matta

Sebuah persatuan pelancongan kecewa dengan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan perdana menteri petang tadi kerana gagal menangani isu utama dalam mengekalkan pekerjaan.

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata, pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion itu tidak memenuhi keperluan syarikat pelancongan, khasnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta isu berkaitan pengekalan pekerja.

“Apa yang akan berlaku selepas bantuan selesai diberikan menjelang Mei dan pekerja mendapati mereka kehilangan kerja kerana syarikat mereka terpaksa gulung tikar,” kata Presiden Matta, Tan Kok Liang dalam kenyataan hari ini.

Pakej itu diumumkan Muhyiddin Yassin untuk menangani kesan pandemik Covid-19 yang terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi perniagaan dan PKS serta RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara.

Ia termasuk bantuan RM600 sebulan selama 3 bulan untuk pekerja berpendapatan RM4,000 ke bawah bagi pendapatan syarikat yang merosot lebih 50% sejak 1 Jan lalu.

Tetapi, Tan berkata, industri pelancongan yang mempunyai 3.5 juta pekerja, mengalami kemerosotan hasil sebanyak 90% bulan ini dan dianggarkan rugi sepenuhnya bagi 3 bulan berikut, yang mungkin memaksa syarikat, khasnya PKS memberhentikan pekerja.

Katanya, perniagaan berkaitan pelancongan menunjukkan kemungkinan pekerja dikurangkan antara 70% hingga 90% dalam beberapa bulan lagi.

“Pakej yang diumumkan kerajaan itu tidak menangani keperluan asas perniagaan dan akan menyebabkan syarikat terpaksa memberhentikan pekerja untuk kekal dalam perniagaan.”

Beliau berkata, walaupun majikan dan pekerja sanggup bertolak ansur untuk mengekalkan pekerja, kerajaan bagaimanapun “menjadikannya agak sukar bagi semua orang”.

Ini termasuk penangguhan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), manakala subsidi RM600 untuk mengekalkan pekerja disertakan “kriteria kelayakan yang dipertikaikan”.

“Pekerja boleh menikmati sedikit kelegaan pada April dan sebahagiannya pada Mei, tetapi selepas itu, dengan prospek pengurangan tenaga kerja, mereka pada dasarnya perlu berdepan kesan itu sendiri.”

Terdahulu, Persatuan Hotel Malaysia kecewa dengan pakej rangsangan ekonomi terbaru itu yang disifatkan di bawah jangkaan mereka kerana ia kedengaran mengagumkan, tetapi industri yang terjejas secara langsung oleh Covid-19 memerlukan lebih banyak bantuan.

FMT

Related Articles

One Comment

  1. Jelas sekali Matta ini satu pertubuhan yang hanya memikirkan kepentingan sendiri !! Kamu ingat hanya syarikat2 pengendali perlancungan saja yang susah ke?? Syarikat lain tak susah; rakyat tak susah. Suruh Kerajaan tolong Matta saja??? Very selfish. Banyak mana lagi mahu tolong pekerja2 you? Jangan jadi bodohlah, apa pun kerajaan buat bukan boleh bawak balik pelancung sekarang, airport tutup, perlabuhan kapal tutup, you mahu pelancung datang terbang sendiri ka?? Presiden Matta ini sama bodoh macam menteri pelancungan PH dulu. Orang lain pun mau hidup lah.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker