COVID-19: Negara Luar Puji Malaysia, Pemimpin PH ‘Bersuara Sumbang’ Asyik Kutuk
Berhenti berpolitik… Sekarang masa untuk berganding bahu menangani wabak COVID-19, tegas Ketua UMNO bahagian Jelutong Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang menyelar sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Ujar beliau, sikap pemimpin PH yang terus ‘bersuara sumbang’ mencari salah kerajaan sebenarnya memburukkan keadaan dan ia tidak langsung membantu menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara ketika ini.
“Sikap mereka tidak membantu… tidak akan dapat selesaikan isu COVID-19. Bila mereka berbicara sahaja pasti memualkan. Sudahlah 22 bulan gagal mentadbir negara, kini hendak tunjuk pandai pula. Adalah lebih baik mereka memikir dan memberikan idea kepada kepimpinan kerajaan baru dalam usaha menangani wabak ini.
“Saya percaya kerajaan baru ini bukan seperti pentadbiran PH yang tidak mahu mendengar pandangan orang lain,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Razak, walaupun pemimpin PH mengeji cara kerajaan menangani COVID-19 tetapi hakikat dan faktanya, negara luar memuji dan memandang tinggi cara Malaysia.
”Bukan sahaja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menangani jangkitan COVID-19 malah seorang ahli akademik warga Amerika Syarikat (AS) yang berada di Malaysia semasa Perintah Kawalan Pergerakan, memuji tindak balas negara dalam menangani penularan wabak Covid-19.
“Ini jelas menunjukkan kerajaan baru telah melakukan sebaik mungkin untuk mengawal dari wabak ini merebak. Cuma di mata pemimpin PH ‘ada sahaja yang tidak betul’,” sindir beliau.
Katanya, kejayaan kerajaan baru ini sahaja bukan terhad kepada cara menangani wabak COVID-19 tetapi Pakej Rangsangan Ekonomi yang baru diumumkan oleh perdana menteri juga menunjukkan kerajaan hari ini mendengar suara dan denyut nadi rakyat.
“Alhamdulillah pakej rangsangan yang dibentangkan sangat hebat… inilah hasil dari kerajaan yang kononnya dikatakan ‘pintu belakang’.
“Jadi, marilah kita sama-sama doakan untuk kesejahteraan pemimpin kita dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE
You must be logged in to post a comment.