Tempoh PKP lanjut dua bulan jika COVID-19 terus merebak’ – pakar virus
Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin berlanjutan dua bulan lagi, jika penguatkuasaan sehingga 31 Mac ini, gagal mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, tidak menolak kemungkinan itu jika rakyat terus berdegil mengingkari PKP, mengabaikan pelaksanaan penjarakkan sosial serta tidak mengutamakan amalan batuk dan kebersihan yang baik.
“Jika masih ada kelompok rakyat yang berdegil, situasi semasa yang memerlukan kita duduk di dalam rumah, boleh berlanjutan sehingga enam hingga lapan minggu lagi.
“Masalahnya, rakyat kita tiada disiplin seperti warga Korea atau Jepun. Ketika ke hospital semalam, saya lihat masih ada yang bersentuhan dan tidak menutup mulut ketika batuk,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Selain kedegilan rakyat, Sazaly berpandangan, faktor lain mungkin menyumbang kepada kegagalan mengakhiri penularan jangkitan COVID-19, adalah tindakan ribuan orang ramai pulang ke kampung halaman selepas PKP diumumkan.
“Adalah satu kesilapan apabila orang dari kawasan tinggi jangkitan, iaitu Kuala Lumpur dan Selangor, balik ke kampung.
“Kita seolah-olah tidak belajar pada kesilapan sama dilakukan Itali, yang akhirnya menyebabkan wabak coronavirus bertambah kronik di negara itu,” katanya, yang berharap strategi penguatkuasaan lebih agresif.
Sazaly mencadangkan kerajaan mencontohi Korea dan Jepun serta Taiwan, yang bertindak agresif melaksanakan ujian komuniti dengan mengerah jentera perubatan mereka membuat ujian daripada pintu ke pintu.
“Ketika ini, kita masih menunggu orang sakit atau disahkan positif (melalui pengesanan kontak) datang ke hospital. Ibaratnya menunggu sama ada mangsa sakit, pulih atau meninggal dunia.
“Sekarang ‘darurat’ dan sedang berperang, tak boleh guna cara lama. Di Korea dan Jepun, mereka kerah jentera perubatan cari pesakit. Misalnya, Korea buat 20,000 ujian COVID-19 dalam sehari.
“Kita perlu masuk ke kawasan yang dikategorikan tinggi wabak dan uji semua orang dalam kawasan itu. Jika positif, ajar kaedah kuarantin dan terus beri ubat, tidak semestinya mereka perlu ke hospital.
“Ujian komuniti ini bukan saja oleh KKM, malah polis, tentera, pihak universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) berkelayakan juga boleh dikerah membantu. Dalam saat perang ini, gunakan apa saja sumber yang ada, tak boleh bergerak sendirian,” katanya yang tidak menolak kemungkinan Malaysia menjadi seperti Itali jika langkah agresif itu tidak dilakukan.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang tidak berkait dengan kluster tabligh, sekali gus menggesa KKM segera melaksanakan penjujukan genom virus bagi mengenalpasti punca jangkitan berkenaan.
Penjujukan genom itu juga perlu disegerakan bagi mengenalpasti punca mengapa majoriti kes kematian akibat coronavirus di Malaysia, adalah membabitkan golongan berusia 60 tahun ke bawah, berbeza dengan kes di China, Itali, Jepun dan negara lain.
“Tujuh daripada 10 kes kematian di Malaysia adalah 60 tahun dan ke bawah, sedangkan negara lain majoriti kes kematian adalah individu 60 tahun atau 80 tahun ke atas.
“Kita perlu kenal pasti menerusi penjujukan genom, sama ada virus yang menyerang di Malaysia lebih bahaya serta dari mana datangnya virus yang menjangkiti jemaah tabligh dan kes-kes lain,” katanya.
BH
You must be logged in to post a comment.