UMNO Akan Terus Main Peranan Proaktif Sebagai Agen Semak Dan Imbang Kepada Kerajaan Baru
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai agen semak dan imbang (check and balance) terhadap kerajaan baharu ini bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.
Justeru, ujar beliau melalui satu kenyataan media, demi memenuhi aspirasi rakyat dan memelihara kepentingan Agama dan Negara, Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat hari ini mencadangkan beberapa tindakan segera harus diambil oleh kabinet baharu di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kerajaan baru harus segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan salahlaku dan penyelewengan PH terhadap kerajaan BN dan Pengurusan Tabung Haji terdahulu.
“Selain itu, kerajaan juga harus menilai semula semua keputusan penjualan secara lambak aset- aset strategik negara dan agensi-agensi berkepentingan rakyat termasuklah Tabung Haji, Khazanah Nasional, LTAT dan semua Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Demi memenuhi prinsip ‘Rule of Law’ yang sebenar, UMNO mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula, ini termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuhraya melibatkan pemimpin Dap bernilai RM 6.3 bilion,” ujar beliau.
Selain itu Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga mencadangkan agar siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan Kes Pembunuhan yang menyayat hati melibatkan anggota Bomba, Allahyarham Adib disegerakan.
“UMNO juga mencadangkan agar membatalkan agenda kerajaan PH untuk menubuhkan IPCMC yang sengaja mahu mengongkong dan mengekang tugas dan tanggungjawab pihak Polis DiRaja Malaysia dan membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.
“Selain itu UMNO juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan-rakan PAS dan juga memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) bersama rakan-rakan komponen MCA, MIC dan PBRS.
“UMNO akan terus komited untuk mempertahankan kerajaan baru ini selama mana aspirasi rakyat dipelihara dan memastikan kestabilan politik dan ekonomi dapat dijaga sehingga PRU ke-15 akan datang,” tegas beliau. – UMNO ONLINE
You must be logged in to post a comment.