Larikan Diri Hantar Pemimpin Pan Jaga Ikan Debat Isu TH… Itu Politik Murahan, Selar Dr Asyraf

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang lari dari berdialog secara ilmiah berkaitan pelbagai tuduhannya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung isu Tabung Haji (TH).

Bahkan bidas Dr Asyraf, hakikatnya menghantar Ahli Jawatankuasa Pan, Muhammad Faiz Fadzil, yang jaga hal ehwal ikan (Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia-LKIM) untuk mencabar debat dengannya sebenarnya adalah politik murahan.

“Ya, semua orang tahu nama Kekanda Yang Berhormat (YB) adalah Mujahid! Namun kenapa lepas YB tuduh kerajaan terdahulu macam-macam, dakwa TH diselewengkan, tetapi bila diajak berdialog secara ilmiah (bukan berdebatpun), YB melarikan diri?

“Dihantar pemimpin Pan yang jaga ikan (Pengerusi LKIM) pula untuk mencabar berdebat hal ehwal TH!

“Banyak persoalan-persoalan mengenai TH yang perlukan jawapan tuntas Kekanda selaku Menteri bertanggungjawab mengenai TH,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Sebagai contoh tambah Dr Asyraf adalah mengenai jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar pada masa harga sawit memulih, sudah tentulah menteri perlu segera menghentikannya.

Apatah lagi ulas Dr Asyraf, banyak persoalan yang memerlukan jawapan, antaranya:

1. Mengapa ditukar jurunilai baharu sehingga penilaian harga jauh daripada nilai buku asal (RM380 juta kepada hanya RM122 juta)?

2. Mengapa dijual kepada Tamaco pada harga RM177 juta di bawah nilai buku penilaian asal (hilang RM210 juta)? Dengan bahasa mudah, Tamaco memperoleh ‘diskaun’ selepas pertukaran jurunilai. Sekiranya penjualan ini adalah bagi membaiki ratio ekuiti: hutang, kenapa dijual dengan harga sedemikian? Bukankah sepatutnya dijual dengan kadar sama atau lebih tinggi dari harga pasaran?

3. Mengapa dijual ladang-ladang ini jika kerugian syarikat hanya sekali dalam tempoh 12 tahun? (TH Plantations tidak pernah rugi sejak tahun 2006 hingga 2017. Ia hanya rugi pada tahun 2018 iaitu selepas kejatuhan besar-besaran harga sawit).

4. Mengapa dijual ladang-ladang sawit ini ketika harga sawit sedang memulih? (Kos ‘break-even’ TH Plantations adalah RM2,200 per tan. TH Plantations rugi pada tahun 2018 apabila harga minyak sawit menjunam ke RM2,000 se tan. Tetapi hari ini harga sawit sudah mencecah RM2,900/tan).

5. Mengapa Tamaco yang dipilih membeli ladang-ladang TH? Bukankah sepatutnya segala penjualan aset kepada pihak luar / swasta semoleknya melalui proses tender supaya TH Plantations mendapat nilai yang terbaik?

Tambah Dr Asyraf, itu hanyalah sebahagian sahaja persoalan mengenai TH yang rakyat berhak dapat jawapan tuntas dari Dr Mujahid selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas agensi tersebut.

“Ini bukan politik murahan,” tegasnya lagi.

Semalam, di Majlis Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji di Putrajaya, Naib Presiden Pan itu dalam jawapan balas kepada cabaran dialog berkata maksud namanya adalah seorang pejuang tetapi menafikan tidak pandai berdebat kerana telah menjadi ahli parlimen selama tiga penggal dan tidak mahu diseret ke politik murahan dengan menjadikan isu TH sebagai serangan politik kepadanya. – UMNO ONLINE

Related Articles

2 Comments

  1. Kata Dato’ Seri Mijahid, Malaysia negara Rahmatan kenapa takut untuk menyuarakan kebenaran.
    PAN betul-betul kena tunggang dengan parti sahabat karibnya.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker