Doa tidak pernah ditolak, kematian yang dicemburui.

Pemergian anak seni dan pelawak tanah air yang mesra dengan nama pentas, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, bukan saja ditangisi rakan seperjuangan, malah pemergiannya turut dirasai masyarakat termasuk asatizah yang pernah mengenalinya.

Siapa menyangka seorang anak seni yang selama ini berdiri di pentas persembahan membuat jenaka serta menghiburkan hati orang lain meninggalkan kesan yang mendalam buat kita apabila pemergiannya menghadap Ilahi.

Ribuan orang awam hadir untuk bersama-sama mendirikan solat jenazah buat Allahyarham termasuk pendakwah yang menzahirkan rasa kehilangan serta memuji budi pekerti Abam sepanjang mengenalinya.

Ini adalah salah satu bentuk kematian yang dicemburui apabila pemergian seseorang itu bukan saja dirasai ahli keluarganya sebaliknya turut memberi kesan kepada masyarakat, malah asatizah turut sedih dengan kembalinya insan seni ini kepada Pencipta.

Mungkin ramai yang mengenali Allahyarham berdasarkan seni jenakanya di pentas bersama kumpulan Bocey, namun dalam masa sama, beliau adalah anak yang mencurah bakti dan keutamaannya kepada ibu serta keluarga.

Bakti Allahyarham yang sentiasa mengutamakan ibunya sehingga Allah mengangkat darjat tatkala pemergiannya sehingga diziarahi semua lapisan masyarakat termasuk pendakwah.

Ia mengingatkan penulis kepada seorang lelaki yang pernah disebut Rasulullah SAW iaitu Uwais Al-Qarni yang mana doa pemuda itu tidak pernah ditolak oleh Allah SWT dan namanya begitu mahsyur dalam kalangan penghuni langit biarpun lelaki itu tidak popular dalam kalangan penduduk bumi.

Rasulullah pernah berpesan kepada Saidina Umar RA dan Saidina Ali RA bahawa akan lahir dalam kalangan tabiin seorang lelaki yang sangat makbul doanya dan tidak pernah ditolak Allah.

Uwais adalah pemuda yang menghidap penyakit kulit di seluruh badan dan atas sebab yang demikian, dia tidak begitu digemari masyarakat di kampungnya dan berdasarkan catatan yang berbeza, ada yang menyatakan bahawa dia lelaki yang kurang siuman. (Wallahualam)

Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh dan amat mengambil berat ibunya yang uzur serta lumpuh. Lelaki ini begitu tekun untuk mendapatkan keredaan ibunya.

Suatu hari ibunya memberitahu sangat berhajat untuk mengerjakan ibadah haji serta umrah di Makkah walaupun sedar terhadap keupayaan fizikalnya.

Ibunya menyuruh Uwais Al-Qarni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Makkah untuk menunaikan haji dan sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Makkah memerlukan kos yang tinggi.

Uwais mendapat ilham dengan mendukung anak lembu dan membawa serta menuruni tempat tinggi dan perbuatan itu dilakukannya setiap hari.

Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Sebenarnya, tindakan Uwais berkenaan ingin membina otot badannya kuat dan beliau bukan kurang waras sebaliknya cerdik sebagai persediaan mendukung ibunya bagi melunaskan hajat menunaikan haji di Makkah.

Bakti Uwais kepada ibunya antara salah satu faktor beliau sangat popular dalam kalangan penduduk langit dan beliau tidak pernah merungut akan kekurangan dirinya serta sentiasa bersabar dengan ujian Allah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker