Tinjauan ramal kadar pertumbuhan KDNK paling perlahan sejak 2016
Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar diramalkan 4.2% pada suku terakhir 2019, paling perlahan sejak suku ke-2 2016, menurut tinjauan ahli ekonomi oleh Reuters.
Kadar itu lebih rendah berbanding 4.4% yang dipaparkan pada suku ke-3 2019, dan 4.9% pada suku ke-2 2019.
Seramai 13 ahli ekonomi yang meramalkan antara 3.4% hingga 4.6% menyalahkan pertumbuhan lebih rendah itu pada penggunaan swasta dan permintaan luaran yang lebih lemah.
Reuters memetik ahli ekonomi, Gareth Leather sebagai berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku ke-4 mungkin diturunkan oleh kelemahan dalam pengeluaran industri dan eksport, dan jualan runcit yang semakin perlahan.
Sementara itu, Standard Chartered dalam nota penyelidikannya berkata pertumbuhan suku ke-4 mungkin dinaikan pada Disember oleh kegiatan pengilangan dan potensi eksport menjelang Tahun Baru Cina.
“Selepas mengejutkan pasaran dengan pengurangan 25 mata asas pada mesyuarat Januari, pernyataan dasar Jawatankuasa Dasar Monetari berkata kelewatan pelaksanaan projek boleh menimbulkan risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah,” kata Standard Chartered.
Tetapi ia juga berkata pengurangan kadar faedah oleh Bank Negara bulan lepas menunjukkan ekonomi akan berdepan kesukatan dalam mencapai sasaran pertumbuhan.
Putrajaya mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK 4.8% tahun ini.
Kerajaan dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu sektor-sektor yang terkesan dengan koronavirus, yang setakat ini meragut 1,000 nyawa di China dan ratusan sedang dirawat di hospital di serata dunia.
FMT
You must be logged in to post a comment.