Parah Sungguh Imaginasi Guan Eng! Jangan Apikan Politik Perkauman Dan Kebencian – Pemuda MIC
Pemuda MIC Kebangsaan menggesa Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng berhenti dari terus meresahkan rakyat dengan propaganda politiknya.
Bidas Ketuanya Thinalan T Rajagopalu, apa yang jelas kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin hari makin goyah dengan pelbagai krisis dan skandal serta hala tuju negara juga tidak stabil dengan kepincangan pentadbiran mereka.
“Demi menyelamatkan posisi dan kuasa, Guan Eng jelas cuba menimbulkan keresahan rakyat kononnya kerjasama UMNO-PAS akan meminggirkan mereka yang bukan Islam dan akan mewujudkan politik pecah-belah yang bertentangan dengan perlembagaan negara.
“Sungguh parah imaginasi Guan Eng! Ketika menjadi sekutu di dalam pakatan pembangkang sebelum ini, Dap tiada isu terhadap PAS. Tetapi kini ianya dikritik hebat, atas ketaksuban kuasa dan politik Dap,” katanya dalam satu kenyataan.
Thinalan juga amat kesal dan terkejut dengan tindakan Menteri Kewangan itu yang sekali lagi cuba menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia melalui kenyataan politik beliau bahawa usahasama UMNO-PAS adalah suatu bahaya kepada yang bukan Islam.
Bahkan tambahnya, kritikan Guan Eng terhadap pentadbiran PAS di Negeri Kelantan juga bagai kuman di seberang lautan tampak, gajah bertenggek di pelupuk mata tiada tampak.
“Skandal banglo dan skandal terowong bawah laut semasa Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang masih rakyat tidak lupa.
“Kenyataan Guan Eng bahawa Malaysia akan mengharungi zaman kegelapan seperti Negeri Kelantan yang diterajui PAS jika kerajaan Pakatan Nasional menjadi realiti juga mencerminkan kebiadaban pemimpin DAP tersebut.
“Seolah-olah rakyat hidup serba selesa, serba makmur tanpa sebarang keperitan hidup di bawah kerajaan PH. ‘Wake up’, Guan Eng,” selarnya lagi.
Jelas Thinalan juga, kerjasama UMNO dan PAS adalah inklusif kepada semua rakyat Malaysia, merentasi batasan agama dan bangsa.
“Persefahaman dan persetujuan yang wujud bersama UMNO, PAS, MIC dan MCA memastikan tiada golongan yang dipinggirkan, suara dan keperluan rakyat diperjuangkan bersama,” ujarnya.
Justeru Thinalan mendesak Guan Eng berhenti dari terus bermain politik perkauman dan kebencian.
“PH telah diberi mandat oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum Ke-114 (PRU-14), dan anda ternyata gagal mengurus tadbir Malaysia.
“Tak usah sibuk dengan perihal politik kami pembangkang, selesaikanlah kemelut kepimpinan dan penyerahan kuasa di pihak kerajaan!
“Sebagai Menteri Kewangan, laksanakan tanggungjawab anda memulihkan negara dari ambang kemelesetan dan mampu memacukan ekonomi negara,” bidasnya. – UMNO ONLINE
You must be logged in to post a comment.