Bahaya tunduk kepada hawa nafsu

oleh HASAN JALI

SELAIN manusia, Allah juga menciptakan makhluk berupa binatang, jin dan malaikat. Tahukah kita apa perbezaannya? Binatang hanya mempunyai nafsu dan tidak mempunyai akal. Manakala Malaikat hanya mempunyai akal dan tidak memiliki nafsu.

Sehingga semua hidupnya hanya untuk beribadah kepada Allah dan tidak memiliki keinginan untuk bersenang-senang seperti berkahwin, makan, minum dan tidur.

Manakala jin dan manusia mempunyai kedua-duanya iaitu akal dan nafsu sehingga berhajat kepada makan, minum, tidur, berkahwin dan lain-lain. Manakala tugas keduanya pun sama iaitu beribadah kepada Allah.



Allah berfirman yang bermaksud: “Tidak Ku-ciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembahku.” Surah Adz-Zariat (ayat 26). Kerana itu, keselamatan manusia dan jin ada pada tingkat kualiti ibadah yang dilakukan, termasuk juga ketika menggunakan akal untuk melakukan dan menuntun kepada jalan kebenaran, bukan mengikuti keinginan hawa nafsunya. Sebab, bila hidup kita banyak mengikuti keinginan hawa nafsu, maka kehancuran berlaku sama ada di dunia atau di akhirat.

Tahukah kita peristiwa keingkaran Iblis di syurga? Iblis dikutuk Allah dan diusir dari syurga kerana tidak mahu patuh perintah Allah iaitu bersujud pada Nabi Adam AS.

Lebih daripada itu, ia pun menganggap dirinya lebih baik daripada Adam. Sungguh, ia sangat sombong. Tahukah kita apa akibatnya orang yang sombong? Orang yang seperti itu tidak akan masuk syurga.

Perhatikan hadis Nabi SAW bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sedikit sifat kesombongan.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Nabi Adam dan Siti Hawa pun diusir dari syurga ke bumi kerana tidak mematuhi perintah Allah. Padahal syurga tempat yang penuh kenikmatan dan kebahagiaan. Sedangkan bumi ialah tempat yang tandus, panas, penuh maksiat dan kejahatan.

Mengapa Adam dan Hawa diusir dari syurga? Kerana mengikuti keinginan hawa nafsunya iaitu memakan buah khuldi yang dilarang Allah.

Bayangkan, sekiranya Adam dan Hawa tidak memakan buah itu, maka dia tetap berada di syurga, bersenang-lenang dengan isterinya, bahkan mungkin kita semua, anak dan cucunya ini.

Ini menunjukkan adanya kecenderungan manusia yang suka mengikuti nafsu daripada menggunakan fikiran sihatnya. Padahal, bila akal kita yang diikuti, ia jelas memberikan kita jalan keselamatan.



Jadi mengapakah kita banyak mengikuti kemahuan hawa nafsu, yang sudah pasti akan menjerumuskan? Ini masalahnya. Manusia menyedari bahawa mengikuti hawa nafsu itu salah, tapi masih saja mengikutinya.

Namun, tentu saja tidak perlu kita menyesalinya kerana hawa nafsu juga kurnia dan rahmat Tuhan buat manusia dan bila digunakan secara arif banyak manfaat yang kita peroleh.

Jadi, kita tidak perlu sombong. Sebab pada akhirnya, setiap manusia akan salah dan berbuat dosa, sama ada sedar atau tidak, sama ada disengaja atau sebaliknya. Yang beruntung adalah mereka yang segera menyedari kemudian bertaubat.

Penulis adalah pensyarah pengajian Islam Program Pendidikan Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP)



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker