Tiada lagi subsidi bagi perayu haji

BENARKAH mulai tahun ini, tiada lagi subsidi bagi mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan haji atas sebab-sebab tertentu?

Itu pertanyaan yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Asyraf Wajdi, khabar angin yang bertiup kencang mengatakan mulai tahun ini tiada lagi subsidi untuk jemaah haji kali pertama yang berjaya dalam rayuan mereka

Tambang yang perlu dibayar adalah RM21,200.

“Jika benar, saya merayu agar YB ‘Menteri Haji’ (gelaran orang Kimanis kepada Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof) dapat kembali mempertimbangkannya agar amalan TH ( Tabung Haji) waktu zaman BN (Barisan Nasional) memerintah dapat diteruskan,” katanya.

Jelas Asyraf Wajdi lagi, amalan TH waktu zaman BN memerintah, dua kategori perayu yang diberi keutamaan dalam rayuan mereka ialah:

1. Suami kali pertama mengerjakan haji merayu untuk menjadi mahram kepada isteri yang berjaya mendapat tawaran haji tahun yang berbeza dengan suami.

2. Anak kali pertama mengerjakan haji merayu untuk menggantikan tempat ayah yang meninggal dunia dan berhajat menemani ibu yang sudah lanjut usia atau uzur namun berjaya mendapat tawaran haji tahun tersebut.

Kata beliau, dalam kebanyakan kes, mereka bukanlah daripada kategori golongan berada.

“Sebab itulah amalan TH waktu kerajaan BN sebelum ini, mereka hanya perlu bayar harga subsidi haji RM9,980.

“Mungkin kekanda YB Mujahid Yusof Rawa akan gunakan alasan ‘istitoah’ atau syarat kemampuan untuk mengerjakan haji.

“Namun, harus diperingatkan bahawa antara matlamat utama penubuhan TH waktu zaman BN adalah untuk mempermudahkan urusan jemaah haji Malaysia termasuk dengan cara memberikan subsidi bagi membolehkan keperluan ‘istitoah’ para jemaah dapat dipenuhi,” katanya.

Atas usaha tersebut kata Asyraf Wajdi, TH muncul sebagai satu-satunya institusi pengurusan haji terbaik dunia kerana selain daripada menguruskan jemaah, mereka juga terlibat dalam pelbagai bentuk pelaburan.

“Sebahagian daripada keuntungan dikembalikan dalam bentuk hibah kepada pendeposit, manakala sebahagian lain dimanfaatkan dalam bentuk subsidi bagi mengurangkan beban jemaah sekali gus memenuhi keperluan istitoah mereka,” ujar beliau.

Justeru tegas Asyraf Wajdi, TH harus mengekalkan amalan memberikan subsidi penuh kepada jemaah haji kali pertama yang berjaya dalam rayuan mereka.

SuaraMerdeka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker