Virus Influenza A semakin merebak, sudah ada yang mati.

Dua anak demam serentak, seorang meninggal

Dugaan berat terpaksa ditempuh keluarga Mohd Esmadi Ibrahim, apabila dua anaknya demam serentak sebelum seorang daripadanya meninggal dunia pada 6 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, anak bongsunya meninggal dunia akibat demam, manakala anak keduanya dimasukkan ke wad selepas dikesan dijangkiti virus Influenza A.

Mohd Esmadi, 36, berkata anak bongsunya Muhammad Dayyan Hazim yang berusia 20 bulan meninggal dunia pada 6 Januari lalu, selepas sehari mengalami demam.

Lebih menyedihkan ketika kejadian itu, bapa kepada tiga anak terbabit tidak ada bersama mangsa kerana berada di sebuah hospital swasta Kuantan, menemani anak keduanya, Mohamad Danial, 4, yang disahkan dijangkiti Influenza A.

“Bayangkanlah saya tidak dapat memberikan tumpuan pada Hazim dan tidak berpeluang berjumpanya sejak 1 Januari lalu kerana menjaga Danial yang demam teruk dalam wad.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi berharap selepas ini pihak hospital janganlah terlalu mengikut prosedur sehinggakan hendak tunggu lima hari baru hendak melakukan ujian dan sebagainya sedangkan sakit teruk ,” katanya.

Beliau berkata, pada 2 Januari 2020 lalu, isterinya Rossilawati Mohamad, 37, yang menjaga Hazim menelefon memberitahu anak keduanya itu demam dengan panas mendadak sambil mengadu sakit di dalam perut.

Mohd Esmadi berkata, beliau kemudian meminta isterinya membawa Hazim ke klinik swasta kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, sekiranya baru demam pesakit disuruh balik tanpa melakukan ujian terperinci termasuklah ujian darah.

Beliau yang berasal daripada Jengka 18, Maran, berkata ujian yang dijalankan di klinik berkenaan terhadap anaknya itu didapati negatif influenza.

Katanya, berbekalkan antibiotik dan ubat demam Hazim dibawa pulang ke rumah oleh isterinya sebelum mangsa mengalami demam panas yang dialami meningkat mendadak sehingga terpaksa diberikan ubat sebelum mengalami sawan dan dikejarkan ke Hospital Jengka.

“Berita menyedihkan saya terima ketika dalam perjalanan pulang dari Kuantan apabila Hazim dilaporkan semakin kritikal sehingga dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Mohd Esmadi berkata, beliau tidak menyangka dengan hanya demam satu hari menyebabkan seluruh tubuh anaknya menjadi lemah.

“Apabila sampai di hospital, doktor pakar memaklumkan anak saya berada dalam keadaan kritikal dan Hazim meninggalkan kami pada pukul 7.11 pagi pada 6 Januari lalu sebelum dikebumikan di Jengka 18 pada hari sama.

“Walaupun saya dan isteri amat sayangkan Hazim tetapi kami reda dengan ketentuan kerana Allah lebih sayangkannya,” katanya yang bertugas sebagai Pengurus Felda Jengka 1.

Mengulas gejala influenza yang dialami anak keduanya, Danial, beliau berkata, abang kepada Allahyarham itu mengalami demam pada 31 Disember lalu dengan suhu meningkat hingga 39 darjah Selsius.

Katanya, pada mulanya beliau membawa Danial ke Hospital Hoshas Temerloh sebelum doktor mengesahkan anaknya tidak ada jangkitan kuman dan diminta balik

“Walaupun saya memberitahu anaknya sering sakit perut dan demam tidak kebah walaupun makan ubat tetapi doktor mengesahkan tidak dijangkiti kuman.

”Doktor tetap arahkan anak saya dibawa pulang sambil meminta kami membasahkan Danial,” katanya.

Katanya, tidak puas hati dengan keadaan itu, beliau mengambil keputusan unuk merujuk Danial ke sebuah klinik swasta yang kemudian mengesahkan anaknya dijangkiti virus Influenza A.

“Saya begitu sedih dengan fasiliti hospital kerajaan yang tidak mampu mengesahkan anak saya menghidap Influenza A.

“Berbekalkan surat rujukan daripada klinik, saya bawa anak ke sebuah hospital swasta untuk rawatan sebelum sembuh dan dibenarkan pulang pada 6 Januari lalu,” katanya.

29 pelajar lagi disahkan positif H1N1 di Perak

Seramai 29 pelajar lagi disahkan positif Influenza A (H1N1), hari ini, membabitkan beberapa sekolah di negeri ini, menjadikan keseluruhan 37 pelajar disahkan dijangkiti penyakit itu, setakat ini.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Suhaimi Mohamed Ali, berkata 20 sekolah terjejas akibat penularan virus itu dengan tujuh sekolah di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), lapan sekolah di daerah Kinta, tiga sekolah di Manjung dan dua sekolah di Bagan Datuk.

Katanya, sebanyak 12 kes dicatatkan di daerah Kinta iaitu 10 kes di Kinta Utara dan dua kes di Kinta Selatan, 11 kes di Bagan Datuk, sembilan kes di LMS dan lima kes di Manjung.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini hanya sebuah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) diarahkan tutup.

“Sejak Sabtu lalu hingga hari ini, seramai 10 pelajar SEMESTI dilaporkan terkena jangkitan dan sekolah itu diarahkan tutup sehingga 19 Januari ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suhaimi bersama pegawai pendidikan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri turut membuat lawatan di beberapa sekolah yang terbabit kes itu, hari ini.

“Saya baru membuat lawatan hari ini. Kita sudah arahkan pihak sekolah agar mana-mana pelajar yang demam tidak perlu ke bilik rehat di sekolah, sebaliknya terus dibawa ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, semua pelajar dan murid yang dijangkiti dinasihatkan oleh pihak perubatan agar dikuarantin di rumah masing-masing.

Sebelum ini, NSTP melaporkan SEMESTI ditutup sejak Sabtu lalu hingga 19 Januari ini, selepas lapan pelajarnya disahkan positif H1N1.

Susulan penutupan itu, semua pelajar sekolah terbabit yang tinggal di asrama diarah pulang ke rumah keluarga masing-masing.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Suhaimi Mohamed Ali dilaporkan berkata, penutupan sekolah berkenaan adalah yang pertama di negeri ini membabitkan jangkitan H1N1.

Influenza: Kes jangkitan bertambah di Pulau Pinang, 9 di wad

Jumlah pelajar yang dijangkiti influenza di negeri ini meningkat kepada 142 orang hari ini, berbanding 103 pelajar semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu, sebanyak sembilan orang ditahan di wad.

Jumlah jangkitan itu adalah yang dilaporkan setakat jam 8.30 pagi ini membabitkan 70 sekolah.

Katanya, daripada jumlah itu Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kekal paling ramai dijangkiti virus berkenaan iaitu seramai 47 daripada 16 sekolah.

“Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berada di kedudukan kedua dengan 31 kes membabitkan pelajar dari 18 sekolah diikuti Daerah Timur Laut 29 pelajar dari 20 sekolah.

“Sebanyak 28 kes dilaporkan di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) membabitkan 10 sekolah manakala, Daerah Barat Daya merekodkan tujuh kes di enam sekolah,” katanya di sini, hari ini.

“Tiada penutupan sekolah setakat ini dan hanya dua kelas tahun dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth masih ditutup seperti dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Katanya, selain pelajar, bilangan guru yang turut terkena jangkitan penyakit itu juga bertambah seorang lagi kepada empat orang, berbanding hanya tiga semalam.

Abdul Rashid berkata, tiga daripada mereka adalah guru dari sekolah dalam daerah Timur Laut manakala seorang lagi dari SPU.

BH

Nur Dinie meninggal dunia

Kanak-kanak perempuan Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, yang kritikal kerana kegagalan buah pinggang dan hati, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, malam ini.

Berita itu dimaklumkan oleh bapa kanak-kanak itu, Muhammad Noor Ain, 38, menerusi aplikasi WhatsApp.

“Anak saya dah tiada. Innalillahiwainnailaihirojiun,” katanya dalam mesej ringkas yang dihantar kepada pemberita.

Dilaporkan jenazah kanak-kanak berkenaan telah dibawa ke bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasat.
Pagi tadi, Jabatan Kesihatan Johor (JKJ) mengesahkan seorang murid Tahun Satu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini, dijangkiti Influenza A seperti ditularkan dalam media sosial.

Kisah Nur Dinie Damia yang didakwa kritikal dan sedang dirawat di ICU sebuah hospital kerajaan, di sini, sejak beberapa hari lalu tular di media sosial sejak semalam.

MG

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker