#PrkKimanis : Gelombang Biru di Kimanis

Oleh Borhan Abu Samah

SEBELUM menjejakkan kaki di negeri Sabah, saya sangat yakin Warisan tidak akan menghadapi masalah untuk menang di Kimanis pada pilihan raya kecil kali ini.

Perkiraannya mudah. Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal adalah dari parti yang memerintah dan disokong oleh kerajaan persekutuan pastinya mempunyai pengaruh yang sangat besar dan tidak akan tergugat dengan kehadiran soldadu yang membantu calon Barisan Nasional yang hadir hanya pada pilihan raya kecil sahaja.

Namun telahan saya itu jauh meleset kerana selain isu dalam negeri berhubung kait kepimpinan Shafie, penolakan kepada kerajaan Pakatan Harapan juga turut merebak ke negeri di bawah bayu ini.

Tindakan para pemimpin pakatan itu yang semberono melanggar nilai yang mereka sendiri sebelum ini menentang seperti pelantikan politik, pemakaian pangkat kepada orang awam oleh menteri pertahanan, perbuatan menyogok gula-gula semasa pilihan raya dan banyak lagi menjengkelkan rakyat.

Rakyat sebenarnya bukan mahu membandingkan pencapaian pakatan dan Barisan Nasional yang memerintah selama lebih 60 tahun, tetapi mereka kecewa kerana kelaku dan gelagat pemimpin pakatan lebih buruk jika dibanding dengan kerajaan sebelumnya.

Sudahlah segala janji pada pilihan raya lalu yang termaktub di dalam manifesto tidak ditunaikan, ditambah pula dengan pelanggaran nilai yang mereka sendiri gariskan, ia menimbulkan kemarahan rakyat secara total.

Kegagalan kerajaan hari ini mengendalikan ekonomi negara menyebabkan rakyat terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi dan kemerosotan pendapatan boleh guna dan ramai juga yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan atau pengurangan kakitangan oleh syarikat-syarikat menjeruk hati rakyat.

Ini jelas dilihat pada empat pilihan raya kecil sebelum rakyat menolak secara total calon kerajaan sebagai tanda protes terhadap perlakuan yang sangat tidak manuasiawi terhadap mereka.

Keluruhan Perlembagaan sentiasa menjadi bahan uji kaji oleh para pemimpin pakatan yang terlalu ghairah mahu merombak segala yang ada untuk memenuhi kehendak mereka sehingga menyebabkan kaum bumiputera yang menjadi penduduk bumiputera negara ini berasa semakin terancam dan tersepit.

Permasalahan kaum majoriti ini sering dibisukan dan permasalahan kaum minoriti seperti India dan Cina pula diarus perdanakan dengan alasan mereka telah lama dipinggir oleh kerajaan dahulu, walaupun ia sebenarnya tidak benar dan hanya retorik politik.

Langkah UMNO memberi autonomi kepada UMNO Sabah banyak diterima baik oleh rakyat negeri ini dan tidak timbul soal parti itu adalah dari Semenanjung tidak mewakili Sabah.

Ini bermakna para pemimpin peringkat negeri mempunyai kuasa sepenuhnya untuk membuat keputusan tanpa campur tangan UMNO pusat dalam menggerakkan parti berkenaan di Sabah.

Gelombang biru ini membuatkan saya dejavu kepada kejadian di Cameron Highlands yang mempunyai senario hampir sama, kemenangan Barisan Nasional dibatalkan dan Pakatan Harapan sangat kuat terutama DAP di kawasan tanah tinggi itu, tetapi gelombang biru telah mengatasinya.

Apakah keputusan yang sama berlaku, ia terserah kepada para pengundi di Kimanis yang akan memilih semula pemimpin mereka pada 18 Januari ini. Walaupun ia tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri dan persekutusan, tetapi ia adalah isyarat kepada kedua-dua pihak.

Adakah rakyat di Kimanis berpuas hati dengan kad laporan para menteri dan ketua menteri kita tunggu.

SuaraMerdeka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker