Pemuda PKR gesa Mahathir ikut langkah Maszlee.
Pemuda PKR gesa peralihan kuasa PM contohi pengunduran Maszlee, Osman
Pemuda PKR berkata peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri ke-8 kepada Presidennya, Anwar Ibrahim boleh berlaku dengan harmoni seperti yang ditunjukkan dalam kes menteri besar Johor dan menteri pendidikan.
“Kita seharusnya berterima kasih dan menghormati keputusan peletakan jawatan menteri pendidikan oleh Maszlee Malik dan sebelum ini jawatan menteri besar Johor oleh Osman Sapian.
“Pengalaman ini menunjukkan bahawa pertukaran boleh berlaku dengan baik dan harmoni dalam pentadbiran Pakatan Harapan,” kata Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir dalam satu kenyataan, hari ini.
Khamis lalu, Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri Pendidikan berkuat kuasa semalam.
Katanya, beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, pada pertemuan pada hari yang sama mengumumannya.
Sementara itu, Osman pada April lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Mahathir kemudian mengesahkan Osman menyerahkan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa sehari sebelum pengumuman itu.
Mengulas lanjut, Akmal menggesa Majlis Presiden PH segera menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar pada Mei ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Johor Bahru berkata, PH mencapai persetujuan itu pada 6 Januari 2018 supaya peralihan kuasa berlaku dalam tempoh 2 tahun PH menjadi kerajaan di mana Mei ini genap tempoh tersebut.
“Persetujuan agar peralihan berlaku dalam tempoh 2 tahun PH menjadi kerajaan iaitu sejak Mei 2018 perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda PH.
“Maka saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan kuasa perdana menteri pada Mei 2020,” katanya.
Tarikh peralihan kuasa jawatan Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.
Namun Anwar sebelum ini berkata beliau dijangka mengambil alih jawatan itu daripada Mahathir pada tahun ini namun tidak pasti tarikh yang tepat.
FMT
You must be logged in to post a comment.