Ujian siapa bertakwa

Semalam kita berada pada hari pertama tahun baharu 2020.

Allah SWT menjadikan hari yang kita lalui silih berganti. Ini adalah untuk menguji siapa di antara hamba-Nya yang imannya kekal istiqamah.

Nikmat paling besar dalam hidup adalah dapat menikmati istiqamah dalam iman dan Islam.

Berapa ramai daripada kita dahulu berada dalam kalangan orang yang baik namun berubah menjadi tidak baik.

Begitu juga ada golongan sebelum ini diuji dengan kepayahan hidup namun Allah SWT melapangkan rezekinya.

Bagaimanapun, nikmat itu tidak disyukuri sehingga menjadikannya seorang yang lalai selain menyangka segala nikmat diperolehnya hasil usahanya sendiri.

Itulah sifat manusia tidak pernah ingat apa Allah SWT timpakan kepada kaum terdahulu.

Kaum Samud, Allah SWT utuskan Nabi Saleh. Mereka tiada lagi di atas muka bumi ini kerana diazab dengan begitu dahsyat oleh Allah SWT.

Kaum Madyan pula Allah SWT utuskan Nabi Syuib. Manakala kaum Ad, Allah SWT hantar Nabi Hud, namun semuanya menerima nasib sama, punah dan musnah kerana menyekutukan Allah SWT selain menentang nabi yang diutuskan kepada mereka.

Namun, sikap manusia tetap sama, masih angkuh dan sombong. Bagaimanapun, orang baik tetap tidak berhenti mengajak kepada kebaikan.

Umat ini dikatakan baik bukan kerana banyak melakukan ibadat namun Allah SWT memuji umat ini sebagai umat terbaik kerana mereka mengingatkan saudaranya supaya sentiasa berada dalam kebaikan serta melarang daripada melakukan kemungkaran.

Tiada kata lain diucapkan lidah orang beriman melainkan memohon Allah SWT mengampunkan segala dosa mereka pada masa lalu akibat sering lalai.

Mereka tidak tahu ke mana usia itu ‘dilaburkan’. Mungkin banyak dihabiskan untuk perbuatan dosa dan maksiat. Pada hal mereka sedar setiap saat dalam hidup ini tidak akan terlepas daripada pengawasan Allah SWT.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Pada hal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Infitaar, ayat 10-12)

Ketahuilah setiap saat dan waktu berlalu tidak dapat ditebus melainkan kita perbaikinya pada masa yang masih diberi kesempatan untuk terus menikmati hidup ini.

Seandainya masa lalu kita penuh dengan perbuatan dosa, jangan sangka Allah SWT menutup pintu taubat-Nya.

Allah SWT hanya tidak akan mengampunkan dosa syirik namun taubat selain itu tetap akan diterima Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisaa’, ayat 48)

Sehubungan itu, sama-sama kita perbaiki diri, keluarga serta sahabat-handai dengan mengajak mereka ke jalan Allah SWT.

Itulah salah satu cara kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita pada masa lalu.

Selain itu, antara tujuan Allah SWT menghidupkan kita hingga ke saat ini adalah untuk melihat siapa layak menjadi syuhada dan hidup dalam kemuliaan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid.” (Surah Ali-‘Imran, ayat 140)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker