Ibu mentua dari ‘syurga’

Ibu mentua dari ‘syurga’

Tumpat: “Suapan pertama ma (ibu mentua) berjaya mengubat kerinduan saya pada suapan tangan mek (ibu kandung) sejak mek meninggal dunia,” kata wanita kurang upaya, Zauyah Deraman, 37.

Kisah Zauyah yang hiba selepas disuap nasi oleh ibu mentua, Halijah Awang ketika berbuka puasa pada Ramadan ke-11, mendapat perhatian warganet selepas video itu dikongsi suami, Mohd Abdul Rahman Yah, 37, di TikTok, semalam.



Zauyah mengalami kecacatan pada kedua belah tangan dan kaki iaitu bengkok serta kecil sejak dilahirkan.

Menurutnya, dia yang baru tiga minggu melayari bahtera perkahwinan masih merindui ibu kandungnya, Fatimah Yusof yang meninggal dunia pada 3 Februari lalu.

“Pemergian ibu memberi kesan mendalam kepada saya kerana kami tinggal berdua dan tidak pernah berpisah. Setiap kali makan, ibu akan gaulkan nasi, cubitkan lauk ikan untuk saya.

“Paling dirindui ketika ibu menyuap nasi biarpun saya boleh makan dengan tangan sendiri. Arwah memang selalu melayan saya begitu,” katanya yang tinggal di Kampung Ana, di sini.



Katanya, ini adalah Ramadan pertama tanpa ibu tersayang dan kesedihan itu tidak dapat digambarkannya yang

masih merindukan wanita tersayang itu.

“Tetapi saya tak sangka kehilangan ibu digantikan dengan kehadiran suami. Saya masih berpeluang mendapat kasih sayang seorang ibu (mentua) yang menerima dan melayan saya seperti anak sendiri.

“Malah, tak sangka ibu mentua juga tolong mengisi nasi dan lauk pada pinggan saya ketika berbuka puasa. Ia sama seperti dilakukan ibu kandung dahulu.



“Saya sebak dengan tindakan ma dan sebaik nasi masuk ke mulut saya terus menangis. Suami, ma dan semua ahli keluarga mentua menerima saya dengan baik walaupun diri ini tidak sempurna,” katanya.

Katanya, dia juga meminta ibu mentua tidak lagi menyuapnya nasi, namun wanita itu tetap menyuap nasi untuknya sehingga habis satu pinggan.

Sementara itu, Mohd Abdul Rahman berkata, pada hari kejadian dia menyedari isteri dalam keadaan sedih sejak waktu bersahur dan naluri sebagai suami mengatakan wanita itu merindukan suapan tangan seorang ibu.

“Saya kemudian bercerita kepada ma dan tak sangka ma akan menyuapkan isteri kerana niat saya beritahu ma hanya untuk bercerita saja.



“Ketika itu selepas ma menjamah kuih dan minum air, ma terus ambil pinggan nasi dan suapkan isteri. Itulah naluri seorang ibu membuat isteri sebak,” katanya. HM

Ibu mentua dari ‘syurga’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Yana Najib kongsi ‘surat SPRM’ mengenai Nazlan lepas semakan SRC ditolak

Rahim Maarof koma dalam ICU



Luke Shaw peluk Islam?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker