Empat lagi monopoli wajar dipecahkan

Empat lagi monopoli wajar dipecahkan

Kerajaan diminta mengkaji beberapa lagi perniagaan monopoli dalam pengimportan makanan, perkhidmatan liputan rangkaian 5G, pembekalan ubat, perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dan televisyen berbayar bagi mewujudkan persaingan lebih baik serta adil kepada rakyat.

Pakar ekonomi dan persatuan pengguna berpendapat, perkhidmatan atau barangan ditawarkan syarikat tunggal selama ini antara faktor orang ramai terpaksa menanggung kos tinggi disebabkan tidak mempunyai pilihan lain.



Malah, mereka juga menegaskan, monopoli boleh dilaksanakan, namun kerajaan perlu memendekkan tempoh yang diberikan kepada sesebuah syarikat bagi membenarkan persaingan.

Pakar ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata perkhidmatan tidak strategik seperti perkhidmatan kerajaan dalam talian serta dan televisyen berbayar perlu dikaji semula sebagai langkah meningkatkan mutu dan memberikan perkhidmatan yang berpatutan.

Katanya, ketiadaan pilihan menyebabkan ada syarikat monopoli mengambil kesempatan ke atas pengguna.

“Mengambil contoh tayangan cerita dipertontonkan oleh stesen televisyen berbayar adalah sama dan berulang-ulang, sedangkan pelanggan membayar mahukan sesuatu yang setimpal dengan bayaran dikenakan,” katanya.



Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj, pula menggesa kerajaan menumpukan usaha membebaskan monopoli, khususnya dalam sektor perubatan dan makanan.

Selain monopoli syarikat tertentu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menyiasat penubuhan sesuatu konsortium atau kartel yang cenderung bersifat manipulatif serta ‘berkuasa’ mengawal pasaran.

Justeru, beliau menyarankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendedahkan senarai syarikat dikesan memonopoli sektor tertentu, supaya tindakan boleh diambil antaranya memecahkan monopoli mereka dalam pasaran demi kepentingan rakyat.

“Tidak kira konsortium atau syarikat macam mana sekalipun, pastikan ia tidak ada kawalan khususnya dari segi harga dan tidak membesar sampai ia boleh menetapkan harga pasaran. Jika ada persaingan, ia tidak boleh tetapkan harga.



“Jadi MyCC sepatutnya keluarkan senarai syarikat memonopoli, walaupun suruhanjaya itu berdepan implikasi undang-undang, tetapi mereka harus ambil tindakan. MyCC ada kuasa dan perlu menerajui usaha ini,” katanya.

Mengulas lanjut peranan MyCC berhubung isu monopoli, Selvaraj kecewa dengan peranan yang sepatutnya dimainkan suruhanjaya itu yang dilihat sedikit lambat.

Mengambil contoh isu monopoli Touch ‘n Go (TnG), beliau berkata, pihaknya membuat aduan sejak lima tahun lalu, namun tiada tindakan diambil.

15 tahun sudah cukup



Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, pula mencadangkan tempoh 15 tahun sudah cukup untuk kerajaan membantu sesebuah syarikat dapatkan keuntungan menerusi dasar monopoli.

Katanya, tempoh monopoli yang panjang sehingga 30 tahun boleh mengekang pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan kepada rakyat sebagai pengguna.

“Berdasarkan teori, hanya industri utiliti sahaja yang patut diberikan monopoli. Bagaimanapun dari segi dasar, kerajaan sudah memberikan monopoli kepada beberapa syarikat.

“Tidak mengapa, tapi jangan untuk tempoh yang terlalu lama kerana ia tidak menggalakkan persaingan,” katanya.



Mengulas perkhidmatan atau syarikat mengamalkan monopoli yang perlu dikaji semula semula, Sulaiman berkata, antaranya syarikat yang membekalkan ubat-ubatan kepada hospital.

“Produk yang dijual atau dibekalkan syarikat monopoli, kadang kala tidak berkualiti kerana tiada desakan kuat datang dari kalangan pengguna, sebagaimana dalam pasaran kompetitif yang beroperasi secara terbuka,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan mengkaji semula semua syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu sebagai usaha memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih berdaya saing antara mereka.

Katanya, semua kementerian sudah diminta mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil.



Sementara itu, portal berita FMT memetik Prof Dr Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, monopoli dalam makanan, pengimportan beras, perkhidmatan liputan rangkaian 5G dan pembekalan ubat-ubatan perlu dipecahkan.

“Ini antara yang perlu dipecahkan oleh kerajaan kerana ia menyebabkan pengguna dikenakan kos yang tidak berpatutan,” katanya.

Dr Williams berkata, tindakan memecahkan monopoli bagaimanapun tidak boleh dibuat dalam jangka masa pendek atau tergesa-gesa.

“Ia mesti menjadi sebahagian usaha holistik untuk mengukuhkan lagi dasar antipersaingan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan Kementerian Ekonomi,” katanya. BH

Empat lagi monopoli wajar dipecahkan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ini kata Ibu Syamsul kepada Puteri Sarah Liyana

Kazar Saisi akhirnya bersuara

Pulanglah, aku rindu – Farid Kamil

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker