Penswastaan Petronas akan cetus pengambilalihan, kata bekas pegawai Perbendaharaan

Penswastaan Petronas akan cetus pengambilalihan, kata bekas pegawai Perbendaharaan

Seorang bekas pegawai tinggi Perbendaharaan menolak cadangan untuk menyenaraikan Petronas di Bursa Malaysia, dengan berkata rangsangan kewangan yang boleh diberikannya kepada kerajaan bersifat sementara.

Ramon Navaratnam berkata, kerajaan tidak harus menyerahkan “walau sedikit pun” syarikat itu demi kepentingan sektor swasta.



“Suntikan dana daripada penyenaraian itu hanya sekali,” katanya kepada FMT.

“Selepas itu, ia hilang buat selama-lamanya. Langkah menswastakan Petronas, walaupun 10% atau 20%, akan beransur-ansur membawa kepada pengambilalihan (syarikat).”

Navaratnam, bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, menyifatkan Petronas sebagai “angsa yang mengeluarkan telur emas, benteng terakhir integriti” rakyat Malaysia.

Katanya, syarikat itu harus dikekalkan sebagai entiti nasional kerana langkah menjualnya akan menjadi duluan melepaskan perusahaan terkemuka negara.



Pada Selasa, Ahli Parlimen Subang Wong Chen mencadangkan agar kerajaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk tawaran awam permulaan (IPO) Petronas, dengan mengatakan bahawa mengetepikan 20% daripada syarikat untuk tujuan itu akan mengumpul kira-kira RM300 bilion dan meningkatkan hasil tahunan sebanyak RM60 bilion.

Beliau berkata, penyenaraian itu akan membawa kepada ketelusan kewangan dan tadbir urus yang lebih baik untuk syarikat itu, di samping menambah baik kewangan kerajaan.

Peningkatan keuntungan akan membantu mengurangkan hutang negara kepada kira-kira 30% daripada keluaran dalam negara kasar dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, tambahnya.

Navaratnam berkata, berbanding menyenaraikan Petronas di Bursa Malaysia, negara boleh mengurangkan hutang dengan mengurangkan bajet pembangunannya, terutamanya “projek bermotif politik yang mahal”.



Ahli ekonomi Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak juga tidak bersetuju dengan cadangan Wong, dengan berkata hutang kerajaan tidak seteruk yang disangka.

Katanya, lebih penting untuk merapatkan jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin, dan mencadangkan agar ini dilakukan melalui penstrukturan semula ekonomi.

Berjoyai berkata, keuntungan Petronas perlu diletakkan dalam dana endowmen sama seperti dana kekayaan negara Norway, yang ditubuhkan pada 1990 untuk melabur lebihan hasil sektor petroleum negara.

“Petronas harus ‘dikunci’ daripada dijual kepada orang lain dan diletakkan bawah bidang kuasa dana endowmen.



“Semua wang yang diperoleh Petronas harus diletakkan di sana,” katanya.

Julai lepas, menteri ekonomi ketika itu Mustapa Mohamed memberitahu Parlimen bahawa Petronas meramalkan ia mampu menyumbang antara RM55 bilion dan RM59 bilion kepada kerajaan persekutuan pada 2022.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk caruman dalam bentuk dividen, cukai korporat dan petroleum, cukai durian runtuh, bayaran tunai petroleum dan duti eksport.

Mustapa berkata, Petronas telah mengunjurkan jumlah keuntungannya untuk 2022 selepas cukai antara RM75 bilion dan RM80 bilion, dengan mengandaikan harga minyak mentah Brent akan kekal pada kira-kira USD100 setong dan pengeluaran tidak akan terganggu. FMT



Penswastaan Petronas akan cetus pengambilalihan, kata bekas pegawai Perbendaharaan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Meerqeen dah ‘level’ lain



Ini ke penyondol kacau rumah tangga Hafidz Roshdi?

‘Lepas Cerai, Sha Nak Something Different’ – Shila Amzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker