6 rakan didakwa merusuh di Taman Mount Austin

6 rakan didakwa merusuh di Taman Mount Austin

6 rakan didakwa merusuh di Taman Mount Austin
Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan merusuh. – Foto Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Enam rakan didakwa di mahkamah di sini, hari ini, atas tuduhan merusuh menggunakan senjata dan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki di Taman Mount Austin di sini, Disember lalu.

Tertuduh, Choy Soon Chye, 41; Soo Toh Siang, 30; Soh Say Shin, 36; Tan Shen Qi, 21; Yap See Hong, 26; dan Calvin Phua Khim Hau, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan.

Bagi kes di Mahkamah Sesyen, di sini, semua tertuduh didakwa mencapai niat bersama dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas lelaki berusia 28 tahun dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian seperti pisau pemotong daging, pistol pegun, kerusi plastik dan batang besi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan restoran di Taman Mount Austin, di sini, pada jam 3.30 pagi, 27 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa mahupun saksi pendakwaan.

Di Mahkamah Majistret, di sini pula, mereka didakwa mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki pisau serta kerusi plastik di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Fitri Mokhtar membenarkan jaminan RM3,500 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afdhallan Syafiq Azmy dan Siti Aishah Latif manakala semua tertuduh diwakili peguam T Haressh dan Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula 3 Februari ini.

6 rakan didakwa merusuh di Taman Mount Austin

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Johor Terima Pelaburan RM900 Juta, Buka Peluang Pekerjaan Kemahiran Tinggi

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker