Kes Najib: Tindakan Yeo Bee Yin Tidak Beradab, Sensitif Dari Sudut Perlembagaan

Kes Najib: Tindakan Yeo Bee Yin Tidak Beradab, Sensitif Dari Sudut Perlembagaan

Kes Najib: Tindakan Yeo Bee Yin Tidak Beradab, Sensitif Dari Sudut Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin menyindir keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tidak beradab dan sensitif dari sudut Perlembagaan.

Ketuanya, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, kenyataan tersebut turut menunjukkan bahawa beliau tidak berempati dan gagal menghormati semangat rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

 

“UMNO Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi terhadap tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor yang telah menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Ahli Parlimen Puchong berhubung kenyataan media sosial oleh Yeo Bee Yin yang bersifat sinis, tidak beradab serta mencetuskan provokasi politik.

“Kenyataan berbunyi ‘another reason to celebrate this year end’ yang dimuat naik oleh Yeo Bee Yin berkenaan keputusan mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak jelas tidak sensitif, berempati dan gagal menghormati semangat rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta proses perundangan yang masih mempunyai saluran juga mekanisme sah di sisi undang-undang.

“UMNO Selangor ingin menegaskan bahawa isu yang menjadi perhatian rakyat ketika ini bukan sekadar soal individu, tetapi melibatkan kewujudan dan pelaksanaan Titah Addendum yang telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, iaitu suatu titah yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan negara.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Keadilan Adalah Proses Perundangan, Bukan Bahan Pesta Atau Menyindir


“Dalam konteks ini, sebarang bentuk perayaan, sindiran atau kenyataan sinis terhadap keputusan mahkamah yang berkait rapat dengan isu berkenaan boleh ditafsirkan sebagai memperlekehkan kepentingan Titah Raja, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang tahap penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya, Najib masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan melalui saluran sah yang diperuntukkan undang-undang.

“Sekiranya proses rayuan tersebut kelak menghasilkan keputusan berbeza dan kedudukan Titah Addendum diperakui secara sah, maka kenyataan-kenyataan bersifat sinis dan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan sebelum ini akan jelas memperlihatkan sikap tidak sensitif serta kegagalan memahami prinsip keadilan Raja Berperlembagaan.

“Inilah sebab utama UMNO Selangor berpandangan bahawa tindakan Yeo Bee Yin bukan sahaja tidak beradab dari sudut politik, malah sensitif dari sudut Perlembagaan, khususnya apabila ia dibuat oleh seorang Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya memahami dan menghormati prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut berpandangan bahawa tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor menyerahkan memorandum tuntutan permohonan maaf terbuka dan mendesak agar hantaran tersebut diturunkan adalah wajar, berprinsip dan berpaksikan kepentingan institusi negara, bukan bersifat emosi atau kepartian sempit.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Desa Kirana Pacu Pelancongan Desa Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026



“UMNO Selangor turut menolak keras cubaan pihak tertentu, termasuk DAPSY Selangor, untuk melabelkan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor sebagai ‘gimik’ atau ‘intimidasi’. Hakikatnya, penyerahan memorandum secara aman di hadapan pusat khidmat wakil rakyat adalah amalan demokrasi yang sah, beradab dan berperlembagaan.

“Ia bukan provokasi, sebaliknya satu bentuk teguran politik berfakta terhadap kenyataan awam seorang Ahli Parlimen. Menyamakan tindakan berprinsip ini dengan sandiwara politik hanyalah cubaan mengelak daripada menjawab isu pokok, iaitu kebiadapan kenyataan yang menyentuh sensitiviti proses perundangan dan implikasinya terhadap Titah Raja.

“Malah, dalam konteks politik semasa, UMNO juga tidak pernah meraikan kekalahan mana-mana parti lawan, termasuk keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah baru-baru ini, walaupun ia melibatkan kegagalan Dap memperoleh sebarang kerusi. Inilah perbezaan ketara antara politik beradab dan politik ejekan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan kerisauan apabila kenyataan Yeo Bee Yin itu dilihat mampu mengukuhkan persepsi lama mengenai pimpinan Dap terhadap perkara-perkara asas negara.

“Lebih membimbangkan, kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Yeo Bee Yin ini mengukuhkan persepsi lama bahawa pimpinan Dap masih gagal menunjukkan kepekaan terhadap perkara-perkara asas negara, termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu dan peranan institusi Diraja dalam sistem perundangan serta kenegaraan Malaysia.

“UMNO Selangor menyeru agar pimpinan Dap di Selangor, khususnya Yeo Bee Yin, menghentikan politik sindiran dan provokasi, menghormati sensitiviti rakyat serta bertindak secara bertanggungjawab dengan menurunkan hantaran berkenaan termasuk memohon maaf secara terbuka demi memulihkan keharmonian politik.

“UMNO Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan adab politik, kedaulatan perlembagaan dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Kami tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan memperlekehkan prinsip tersebut, sama ada secara terbuka atau tersirat. Prinsip ini akan terus menjadi pendirian UMNO Selangor dalam memastikan politik negara kekal beradab, berperlembagaan dan menghormati institusi,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Kes Najib: Tindakan Yeo Bee Yin Tidak Beradab, Sensitif Dari Sudut Perlembagaan

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Provokasi Politik Dap Untuk Tutup Kelemahan, Kegagalan Parti Sendiri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker