Ribuan sertai tentera baharu Syria selepas kejatuhan Bashar
Ribuan sertai tentera baharu Syria selepas kejatuhan Bashar
![Ribuan sertai tentera baharu Syria selepas kejatuhan Bashar](https://mykmu.net/wp-content/uploads/2025/02/TURKEY-SYRIA-DIPLOMACY_1739231109.webp)
Damsyik: Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa, dalam satu temu bual yang disiarkan pada Isnin berkata ribuan rakyat sudah menyertai tentera baharu negara itu selepas kejatuhan Bashar al-Assad dan pembubaran angkatan tenteranya.
“Saya tidak mengenakan kerahan tenaga wajib di Syria. Sebaliknya, saya memilih pendaftaran secara sukarela dan hari ini ribuan sudah menyertai tentera Syria yang baharu,” kata Ahmed dalam podcast The Rest is Politics, yang dikendalikan Alastair Campbell, bekas jurucakap pemimpin Britain Tony Blair, dan Rory Stewart, juga bekas menteri Konservatif.
Sejak kejatuhan Bashar Disember lalu, pihak berkuasa Syria sudah membubarkan angkatan tentera serta pasukan keselamatan rejim lama dan membuka pusat untuk bekas anggota tentera yang berkhidmat di bawah kerajaan yang digulingkan bagi menyelesaikan status mereka.
Pada tahun awal perang saudara Syria, pakar mendapati gabungan kematian, pembelotan dan pengelakan kerahan tenaga menyebabkan tentera kehilangan kira-kira separuh daripada kekuatan asalnya yang berjumlah 300,000 anggota.
Tentera rejim lama bertahan dengan bantuan sekutu Bashar, termasuk Rusia dan Iran, serta pejuang dari kumpulan yang disokong Iran seperti Hizbullah dari Lubnan.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Selepas Tengku Maimun, Mantan Presiden Majlis Peguam Pula Kecam Kerajaan Perpaduan
Namun, apabila sokongan itu semakin berkurang, tentera kerajaan akhirnya runtuh di hadapan serangan besar-besaran pemberontak pada November lalu yang dipimpin oleh kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang diketuai oleh Ahmed sendiri.
Ahmed, yang dilantik sebagai presiden sementara bulan lalu, menyatakan sejumlah besar pemuda sudah melarikan diri dari Syria untuk mengelakkan kerahan tenaga wajib.
“Ramai bekas pegawai tentera yang berpaling tadah sebelum ini, tetapi kini mereka secara beransur-ansur menyertai semula kementerian pertahanan,” katanya dalam temu bual yang dialih suara ke dalam bahasa Inggeris itu.
Pihak berkuasa baharu Syria menyatakan kumpulan bersenjata yang masih aktif dalam negara itu akan diserap ke dalam tentera nasional, pada ketika keadaan keselamatan masih belum stabil.
Pejuang pro-Turki masih bertempur dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang dipimpin oleh Kurdish dan disokong oleh AS – yang bertindak sebagai tentera de facto bagi pentadbiran separa autonomi Kurdish di timur laut Syria.
Ahmed, yang kini giat merayu supaya sekatan ke atas Syria ditarik balik, menegaskan langkah-langkah itu dikenakan terhadap rejim terdahulu akibat jenayah sistematiknya.
“Sekarang kami sudah membubarkan rejim dan penjara-penjaranya, sekatan ini harus dihentikan kerana tiada lagi alasan untuk mengekalkannya selepas kejatuhan rejim,” katanya.
Konflik Syria bermula pada 2011 apabila Bashar bertindak keras terhadap tunjuk perasaan antikerajaan, mencetuskan perang yang kompleks dan meragut lebih daripada 500,000 nyawa serta menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Ahmed, yang semakin kerap muncul dalam temu bual bersama pelbagai media, termasuk platform dalam talian bukan tradisional, berkata, Syria kini berdepan dengan cabaran keselamatan utama, dan salah satu penyelesaian langsung adalah melalui pembangunan ekonomi.
“Itulah yang kami fokuskan sekarang. Tanpa pertumbuhan ekonomi, tiada kestabilan, dan tanpa kestabilan, kita berisiko mencipta persekitaran yang menggalakkan kekacauan dan ketidakamanan,” katanya.
Ribuan sertai tentera baharu Syria selepas kejatuhan Bashar
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Wajarkah UMNO Terus Membisu Dalam Isu Yang Berkaitan Rakyat?
You must be logged in to post a comment.