Wooi Yik akui BAC lebih sukar

Wooi Yik akui BAC lebih sukar

Wooi Yik akui BAC lebih sukar
WOOI Yik (kiri) dan Aaron pada sesi latihan Skuad Badminton Kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, baru-baru ini. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik memberi amaran bahawa Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 7 hingga 12 April ini bakal menjadi ujian lebih sukar berbanding kempen mereka di Eropah.

Wooi Yik berkata, dia dan pasangannya, Aaron Chia menjangkakan saingan lebih sengit dalam acara beregu lelaki memandangkan persaingan di peringkat Asia cukup rapat dan sukar dijangka.

Walaupun berjaya mara ke final Terbuka Malaysia dan Seluruh England tahun ini, pemain ranking kedua dunia itu mengakui BAC menawarkan tahap cabaran yang berbeza, terutama dalam acara beregu lelaki yang sering ditentukan dengan perbezaan cukup kecil.

Pasangan negara itu bakal memulakan cabaran selaku juara bertahan dengan pertemuan pembukaan menentang gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin yang kini berada di ranking ke-12 dunia.

Setakat ini, Aaron-Wooi Yik sudah menewaskan pasangan Taiwan itu dua kali dalam tiga pertemuan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Johor Perkukuh Hubungan Pelabur Antarabangsa – MB


“Saya rasa Asia lebih sukar, terutama dalam beregu lelaki di mana semuanya sangat rumit. Setiap pemain ada kekuatan masing-masing, jadi ia memang tidak mudah,” kata Wooi Yik ketika ditemui baru-baru ini.

Bekas juara dunia itu bagaimanapun pantas merendahkan jangkaan walaupun turun selaku penyandang juara apabila mengakui mereka masih belum mencapai prestasi terbaik.

Katanya, keputusan memberangsangkan yang dilakar sebelum ini belum bermakna mereka sudah benar-benar berada pada tahap tertinggi.

“Kami harap dapat mempertahankan gelaran, tetapi ia bukan mudah kerana saya rasa kami masih belum berada pada prestasi terbaik sepenuhnya.

“Kami hanya akan lakukan yang terbaik dengan apa yang ada dan cuba tampil lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, kekalahan kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam dua final Siri Super 1000 turut membuka ruang penambahbaikan buat mereka, khususnya dari aspek ketenangan pada saat-saat penting.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Sambutan Aidilfitri Semarakkan Perpaduan Komuniti – Mohamad Hasan


Menurut Wooi Yik, jurang antara mereka dengan pasangan Korea Selatan itu semakin rapat, namun pengalaman lawan dan kemampuan untuk kekal tenang menjadi pemisah utama.

“Saya rasa jurang itu semakin dekat. Cuma mereka lebih tenang kerana pengalaman yang dimiliki.

“Di Seluruh England, mungkin kami terlalu ghairah untuk menamatkan mata pada saat-saat penting. Itu antara perkara yang perlu kami perbaiki selepas ini, iaitu untuk menjadi lebih tenang,” katanya.

Menjelang BAC, Wooi Yik berkata fokus utama mereka adalah untuk mengekalkan konsistensi selain pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan lawan yang sentiasa berubah.

Katanya, sifat tidak menentu dalam acara beregu lelaki, khususnya di Asia, menuntut mereka supaya sentiasa tajam dari segi taktikal sepanjang kejohanan.

“Kami perlu bersedia untuk apa saja kerana permainan sentiasa berubah. Semuanya bergantung kepada bagaimana kami menyesuaikan diri dan kekal konsisten,” katanya.

Wooi Yik akui BAC lebih sukar

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wanita Bukti Ketahanan Tinggi, Tonggak Pemulihan Ekonomi Negara – Noraini

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker