Kenaikan Harga Diesel: Harga Barangan Asas Perlu Dipantau, Dikawal Ketat

Kenaikan Harga Diesel: Harga Barangan Asas Perlu Dipantau, Dikawal Ketat

Kenaikan Harga Diesel: Harga Barangan Asas Perlu Dipantau, Dikawal Ketat

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan Madani digesa untuk segera memantau dan mengawal harga barangan asas dengan lebih ketat susulan kenaikan mendadak harga minyak diesel yang berkuatkuasa pada hari ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata, kenaikan mendadak harga minyak itu akan mencetuskan kesan rantaian yang lebih teruk dan pantas kepada kos sara hidup rakyat.

“Saya amat bimbang dengan lonjakan harga diesel yang semakin tidak terkawal. Hanya dua minggu lalu harga diesel naik ke RM3.92 seliter, kemudian melonjak lagi ke RM4.72 seliter (19–25 Mac 2026).

“Kini, bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026, harga diesel runcit di Semenanjung Malaysia telah melambung kepada RM5.52 seliter, paras tertinggi baharu dalam sejarah negara.

“Kenaikan mendadak ini bukan lagi isu biasa. Ia akan mencetuskan kesan rantaian yang lebih teruk dan pantas terhadap kos sara hidup rakyat. Kos pengangkutan barang akan melambung tinggi menyebabkan harga barang keperluan harian, makanan, sayur-sayuran, ayam, telur, barangan runcit dan perkhidmatan logistik, pasti naik dengan mendadak. Inflasi tolakan kos ini akan memukul lebih keras golongan B40 dan M40 yang sudah lama tertekan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Bila Hukum Jadi Pilih Kasih: UMNO Perlis Bidas Keras ‘Layanan Istimewa’ – Rozabil


Ujarnya, masih ramai lagi peniaga dan pengusaha kecil yang tidak dapat menikmati subsidi Diesel Fleet Card (SKDS 2.0 / MySubsidi Diesel) kerana kriteria ketat.

“Lebih menyedihkan, ramai peniaga kecil, pengusaha lori mikro, syarikat logistik berskala sederhana dan ‘runner’ bebas masih tidak dapat menikmati subsidi Diesel Fleet Card.

“Ramai yang tidak layak kerana kriteria ketat, proses permohonan lambat atau belum mendapat kelulusan. Mereka terpaksa beli diesel pada harga pasaran penuh RM5.52 seliter, manakala yang bertuah menikmati harga subsidi sekitar RM2.15 seliter.

“Ketidakadilan ini akan memaksa peniaga kecil menaikkan caj pengangkutan, dan akhirnya rakyat biasa yang menanggung beban paling berat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru Kerajaan Madani untuk mengkaji semula dan memperluaskan mekanisme Fleet Card supaya lebih inklusif dan memudahkan akses kepada pengusaha kecil.

“Pemuda UMNO menyeru dengan tegas Kerajaan Madani supaya bertindak segera dan drastik. Pertama, segera pantau dan kawal harga barang asas dengan ketat, ambil tindakan tegas terhadap sebarang kenaikan harga yang tidak wajar oleh peniaga tidak bertanggungjawab.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Sharif Musa Seru Perantau Utamakan Keselamatan Pulang Berhari Raya


“Kedua, kaji semula serta perluas segera mekanisme Fleet Card supaya lebih inklusif dan memudahkan akses kepada pengusaha kecil serta logistik mikro. Ketiga, perluaskan lagi bantuan subsidi Madani, program Budi Individu dan bantuan tunai kepada lebih ramai pengusaha pengangkutan yang terkesan.

“Terakhir, berikan insentif tambahan seperti rebat cukai, moratorium bayaran atau bantuan operasi segera kepada sektor logistik dan SME supaya kos tidak dipindahkan terus kepada rakyat,” katanya lagi.

Tegasnya, rakyat tidak boleh terus dibiarkan menjadi mangsa dalam isu kenaikan harga minyak global tanpa perlindungan mencukupi.

“Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa kenaikan harga minyak global tanpa perlindungan mencukupi. Pemuda UMNO akan terus mendengar suara rakyat, terutamanya belia dan peniaga muda, serta memperjuangkan dasar yang adil, prihatin dan berkesan.

“Rakyat diutamakan. Harga mesti dikawal dengan segera. Subsidi mesti sampai kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan, harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 menyaksikan harga RON95 tanpa subsidi naik kepada RM3.87 seliter berbanding RM3.27 sebelum ini.

Harga RON97 naik kepada RM5.15 manakala diesel bagi semenanjung naik kepada RM5.52.

Harga BUDI95 dan diesel Sabah dan Sarawak kekal masing-masing pada kadar RM1.99 seliter dan RM2.15 seliter. – UMNO Online

Kenaikan Harga Diesel: Harga Barangan Asas Perlu Dipantau, Dikawal Ketat

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kebersamaan, Kesetiaan … Kekuatan Sebenar Keluarga UMNO Kepala Batas

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker