Hubungan erat resipi kejayaan Pearly-Thinaah
Hubungan erat resipi kejayaan Pearly-Thinaah

Kuala Lumpur: Hubungan rapat sebagai kawan baik menjadi antara resipi utama kejayaan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sehingga mampu mencipta pelbagai pencapaian dan kini bergelar pasangan nombor dua dunia.
Sejak digandingkan pada 2019, Pearly-Thinaah sudah merangkul pelbagai kejuaraan selain diangkat sebagai antara beregu wanita terbaik pernah dimiliki Malaysia.
Tahun lalu, mereka mencipta sejarah apabila muncul beregu wanita pertama negara mara ke final Kejohanan Dunia di Paris sebelum menamatkan saingan sebagai naib juara.
Dalam saingan Jelajah Dunia BWF, pasangan itu sudah mengumpul tujuh gelaran termasuk Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024, Masters Jepun 2025 selain Masters Indonesia 2026 pada Januari lalu.
Pearly berkata, keserasian mereka bukan sahaja terjalin di dalam gelanggang, malah turut diperkukuhkan melalui persahabatan rapat di luar gelanggang.
“Saya sangat menikmati bermain bersamanya kerana dia bukan saja pasangan di gelanggang, malah kawan baik saya di luar gelanggang.
“Bermain bersama kawan baik memberi perasaan yang berbeza kerana kami berjuang bersama di gelanggang dan ia menjadi kekuatan kami. Kami juga mempunyai kepercayaan yang sangat kuat antara satu sama lain,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Thinaah mengakui walaupun mereka kadangkala berdepan salah faham ketika beraksi, namun kedua-duanya sentiasa mencari jalan penyelesaian bersama.
“Sebagai kawan baik di dalam dan luar gelanggang, memang ada salah faham yang berlaku ketika bermain.
“Tetapi perkara yang saya paling hargai ialah bagaimana kami sentiasa mencari penyelesaian bersama dan tidak membiarkan masalah itu berlarutan,” katanya.
Menurutnya lagi, keterbukaan antara mereka untuk berkongsi pandangan dan perasaan turut membantu memperkukuhkan kerjasama sebagai pasangan beregu.
“Kami sentiasa terbuka antara satu sama lain. Walaupun ada perkara yang sukar diterima pada mulanya, kami tetap meluahkan dan mencari jalan penyelesaian bersama kerana kami berkongsi matlamat yang sama,” katanya.
Hubungan erat resipi kejayaan Pearly-Thinaah
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Kerajaan Sasar 70% Lepasan SPM Sertai TVET Menjelang Akhir RMK13 – Ahmad Zahid
- Santunan Kasih Ramadan… UMNO Jempol Serlah Kepedulian
- Ramadan Youth Circle Satukan Generasi Pewaris Perjuangan
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Komitmen Tak Banyak Alasan… Maidatul Rahman UMNO Putrajaya Manifestasi Kebersamaan
You must be logged in to post a comment.