RUU Pengasingan Peranan AG – Pendakwa Raya, Had Tempoh PM Dibentang Kali Pertama Isnin Ini

RUU Pengasingan Peranan AG – Pendakwa Raya, Had Tempoh PM Dibentang Kali Pertama Isnin Ini

RUU Pengasingan Peranan AG – Pendakwa Raya, Had Tempoh PM Dibentang Kali Pertama Isnin Ini

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan RUU mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata bagi pembentangan bacaan kali kedua RUU Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, ia akan dilakukan pada 2 Mac.

Beliau berkata bacaan kali kedua RUU Rang Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri pula dijadualkan pada 3 Mac dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkannya sendiri.

Menurut Azalina, cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertujuan memperkukuh prinsip kebebasan institusi, selain memastikan ketelusan serta keadilan dalam sistem perundangan negara.

“Antara perkara utama dicadangkan termasuk pelantikan Pendakwa Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, serta pemberian kuasa pendakwaan,” katanya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Selamat Tahun Baharu Cina, Ahmad Zahid Seru Kukuhkan Perpaduan


Azalina berkata demikian semasa program taklimat berhubung isu RUU berkenaan bersama barisan ketua editor berita media tempatan hari ini.

Beliau berkata pembentangan RUU di Parlimen itu nanti turut memperincikan kedudukan Pendakwa Raya yang setara dengan Peguam Negara dari segi hierarki dan perkhidmatan, selain menetapkan kriteria utama seorang Pendakwa Raya iaitu perlulah sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam litigasi serta tempoh lantikan selama tujuh tahun.

Sementara itu, bagi pembentangan RUU Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, Azalina berkata tempoh perkhidmatan perdana menteri akan dikira secara terkumpul sepanjang hayat perkhidmatan, sama ada secara berturutan atau tidak.

Katanya apabila perdana menteri terhenti memegang jawatan kerana sampai tempoh agregat 10 tahun, anggota jemaah menteri juga turut terhenti memegang jawatan.
Azalina berkata tempoh peralihan kuasa kepada Perdana Menteri baharu turut diperuntukkan dalam RUU berkenaan.

“Dalam tempoh peralihan sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut Fasal 2(a) Perkara 43, Persana Menteri dan anggota Jemaah Menteri yang terhenti memegang jawatan akan melaksanakan tugas-tugas terhad berkaitan dengan pentadbiran harian kerajaan sahaja,” katanya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rebut Ganjaran Ramadan, Tingkatkan Ibadah – Wan Rosdy


Azalina turut memaklumkan bahawa kedua-dua RUU itu telah dipersetujui Jemaah Menteri dan berharap pembentangan serta perbahasan kedua-dua RUU itu mendapat sokongan rentas parti demi memperkukuh sistem perundangan serta demokrasi negara. – BERNAMA

RUU Pengasingan Peranan AG – Pendakwa Raya, Had Tempoh PM Dibentang Kali Pertama Isnin Ini

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ahmad Zahid Ucap Takziah Atas Pemergian Tun Abdul Hamid

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker