Johor Perkukuh Kerjasama Global, Pembangunan Modal Insan Jadi Teras Transformasi Negeri

Johor Perkukuh Kerjasama Global, Pembangunan Modal Insan Jadi Teras Transformasi Negeri

Johor Perkukuh Kerjasama Global, Pembangunan Modal Insan Jadi Teras Transformasi Negeri

JOHOR BAHRU, 10 Feb — Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi pendidikan dan dasar bertaraf dunia sebagai sebahagian daripada agenda transformasi negeri, dengan pembangunan modal insan dijadikan teras utama.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha ini bertujuan meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam negeri serta memastikan Johor kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Beliau berkata demikian sempena penganjuran Johor Dialogue 2026, yang menampilkan lima pemikir dan profesor dari University of Oxford, menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada pembuat dasar, agensi pelaburan, institusi kewangan serta pemimpin industri.

“Johor kini berada di barisan hadapan perbincangan strategik mengenai ekonomi global yang semakin saling bergantung dan kompetitif. Ini mencerminkan komitmen kita untuk memastikan dasar negeri digarap berlandaskan pemikiran bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Permodalan Darul Ta’zim (PDT) telah mula menghantar penjawat awam Johor ke institusi terkemuka dunia, termasuk lima pegawai yang kini mengikuti program profesional di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat dalam bidang kepimpinan organisasi berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, inisiatif ini dilaksanakan di bawah Johor Talent Development Council (JTDC) yang merangka pembangunan bakat negeri secara menyeluruh melalui lima kluster utama, melibatkan kerjasama bersama MIT, Imperial College London, Oxford, Harvard Kennedy School serta Oxford Saïd Business School.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Kerjasama Kerajaan–Swasta Tangani Kos Sara Hidup Menjelang Ramadan, Syawal


“Kluster tersebut merangkumi bidang kepimpinan berteraskan teknologi, kelestarian alam sekitar, pembangunan dasar awam, pelaburan antarabangsa serta pembangunan bakat negeri melalui program kepimpinan dan kolaborasi universiti tempatan.”

Selain itu katanya, JTDC turut memperluas jaringan serantau menerusi kerjasama dengan institusi TVET terkemuka Singapura serta universiti di China seperti Peking University dan Zhejiang University bagi memastikan pemindahan ilmu, teknologi dan kepakaran industri kepada penjawat awam, tenaga kerja dan generasi muda Johor.

Onn Hafiz berkata, semua usaha ini selari dengan aspirasi DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk melihat Johor berdiri sama tinggi di pentas global.

“Ini adalah gerakan tersusun untuk menaik taraf kapasiti pentadbiran negeri dan bakat Orang muda Johor secara menyeluruh, dipacu oleh penjawat awam yang berwawasan, institusi yang progresif serta generasi muda berkemahiran masa hadapan. Insya-Allah, Johor akan terus mara sebagai negeri yang bersedia memimpin dalam dunia tanpa sempadan,” katanya lagi. – UMNO Online

Johor Perkukuh Kerjasama Global, Pembangunan Modal Insan Jadi Teras Transformasi Negeri

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Azalina, Rakan Sejawat Singapura Perkukuh Kerjasama Perundangan Dua Hala

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker